Tiada tawaran Pas sertai kerajaan: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

BAGAN DATUK - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa ada pihak dalam kerajaan menawarkan parti itu menyertai Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, parti itu seeloknya terus 'berkawan' dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN).

"Di luar pengetahuan saya. Saya rasa eloklah mereka berkawan terus dengan Bersatu.

"Jangan perasan ada sesiapa nak tawarkan pada dia," katanya ringkas ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi.

Ahmad Zahid menyerahkan sumbangan kerusi roda dan kotak Perkeso Perihatin kepada salah seorang penerima faedah Perkeso pada Karnival Kerjaya MyFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) 2023 di Bagan Datuk.
Ahmad Zahid menyerahkan sumbangan kerusi roda dan kotak Perkeso Perihatin kepada salah seorang penerima faedah Perkeso pada Karnival Kerjaya MyFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) 2023 di Bagan Datuk.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Karnival Kerjaya MyFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) 2023 di Dewan Serbaguna Dato' Haji Abdullah Ahmad, Hutan Melintang di sini pada Ahad.

Media pada Sabtu melaporkan Abdul Hadi mendakwa tawaran itu muncul kerana Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR menyedari kedudukannya tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak Pas.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, pihaknya sememangnya terbuka dengan mana-mana tawaran oleh sesiapa pun tetapi tawaran berkenaan mesti tidak lari daripada prinsip, matlamat dan hala tuju Pas.