MAFE nafi sabotaj filem Anwar: The Untold Story

Anwar menghadiri Tayangan Perdana Filem Anwar: The Untold Story pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Anwar menghadiri Tayangan Perdana Filem Anwar: The Untold Story pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) menafikan dakwaan mensabotaj filem Anwar: The Untold Story dengan mengurangkan slot tayangan di 124 pawagam negara.

MAFE dalam kenyataan pada Selasa berkata, pihaknya tidak pernah meminggirkan mana-mana naskhah tempatan selain sentiasa memberi sokongan kepada perkembangan industri perfileman negara.

"Kita menyangkal dakwaan secara tidak adil terhadap pemamer pawagam tempatan mengenai keengganan menayangkan filem berkenaan dan seterusnya menghalang sasaran kutipan disasarkan mereka.

"MAFE memperjuangkan pertumbuhan industri filem tempatan dengan menyokong produksi tempatan termasuk filem Anwar: The Untold Story," katanya.

Pada Ahad, produksi filem Anwar: The Untold Story mendakwa sesetengah pawagam cuba mensabotaj tayangan naskhah biopik yang memaparkan kisah jatuh bangun perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Walaupun mencipta sejarah menjadi filem biopik pertama mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan, Khamis lalu, namun jumlah kutipan tidak memenuhi sasaran apabila filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan edaran oleh DMY Creation seperti tidak mendapat slot tayangan seperti permintaan ramai.

Sementara itu, MAFE berkata, setiap pawagam memperuntukkan lima slot tayangan untuk filem berkenaan.

Menurutnya, pemamer pawagam tempatan mempunyai purata lima masa tayangan filem Anwar: The Untold Story yang dijadualkan setiap lokasi meliputi 70 peratus lokasi di seluruh negara.

"Slot tayangan lebih banyak tersedia di pawagam yang terletak di pusat bandar," ujarnya.

Anwar: The Untold Story mengisahkan perjuangan dan pengorbanan Anwar menentang amalan rasuah dengan sokongan isterinya.

Filem arahan pengarah Indonesia, Viva Westi itu memfokuskan bagaimana Anwar tegas menolak pelbagai jenis imbuhan dan wang tunai menyebabkannya difitnah dalam konspirasi besar hingga dipecat, dipukul secara brutal dalam lokap dan dibiarkan tanpa rawatan sehingga beberapa hari.

Filem yang membabitkan kos RM10 juta itu ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 18 Mei lepas.