X

Kindly register in order to view this article
!

Turunkan menteri besar secara berhemah

Dr Ahmad Fakhruddin
Dr Ahmad Fakhruddin
A
A

ALOR SETAR - Krisis pertukaran menteri besar melibatkan kepimpinan Umno Kedah tidak wajar berlaku secara desakan oleh pimpinan parti, berikutan calon menteri besar dipilih secara harmoni selepas PRU13.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, sekiranya terdapat pihak tertentu mahu menurunkan Menteri Besar sedia ada, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sewajarnya ia dilakukan secara berhemah.

“Tidak munasabah proses menukar menteri besar dibuat secara tidak beradab dan tidak mengikut saluran, malah dibuat secara desakan yang boleh mencetuskan provokasi. Tindakan itu turut menyebabkan rakyat diheret dalam kancah perebutan kuasa antara pihak bertelagah, yang entah bila akan berakhir,” katanya.

Menurutnya, krisis perebutan kuasa dalam Umno Kedah secara tidak langsung menyebabkan pentadbiran kerajaan negeri tempang ekoran ketidakpercayaan anggota Exco dan Adun terhadap Mukhriz.

“Rakyat menantikan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas adakan pertemuan bersama 14 Ketua Bahagian Umno Kedah, yang hilang kepercayaan terhadap Mukhriz, namun tiada sebarang penjelasan dibuat, memperlihatkan kegagalan beliau menyelesaikan krisis,” katanya.

Dibimbangi apabila pentadbiran tidak stabil, rakyat menjadi mangsa berikutan banyak urusan terganggu  ekoran krisis yang tercetus kerana melibatkan pentadbiran tertinggi kerajaan negeri.

“Pelabur juga akan hilang kepercayaan terhadap negeri ini akibat ketidakstabilan politik. Kesannya kelak merugikan rakyat,” katanya.

Ahmad Fakhruddin berkata, rakyat harus membuka mata dan melihat kemelut yang tercetus ini adalah gara-gara perebutan kuasa pihak tertentu yang menggambarkan mereka lebih mementingkan kuasa dan kepentingan diri berbanding kepentingan rakyat.

“Apa yang dikesalkan, krisis ini berlaku ketika rakyat terbeban dengan tekanan kos sara hidup selain pelbagai skandal yang merugikan negara. Pihak yang bertelingkah itu dianggap tidak menghormati  Sultan Kedah kerana mencetuskan kontroversi di saat rakyat meraikan hari keputeraan baginda,” katanya.

Tegasnya, Pas Kedah mengulangi pendirian supaya krisis yang boleh menjejaskan kepentingan awam ini diselesaikan segera.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!