Tun M digesa henti keluar kenyataan rugikan BN

Mahathir Mohamad - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI
A
A

PUTRAJAYA - Tun Dr Mahathir Mohamad digesa supaya berhenti mengeluarkan kenyataan-kenyataan merugikan Umno dan BN serta boleh memusnahkan perpaduan rakyat Malaysia yang dibina oleh empat Perdana Menteri terdahulu termasuk beliau sendiri. Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang menggesa pengundi di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar supaya tidak mengundi BN hanya akan merugikan parti pemerintah itu. "Kalau dia benci sangat pada kami, (sekurang-kurangnya) sayanglah kepada parti, (kerana) dia sudah terajui parti ini sejak dia jadi Perdana Menteri selama 22 tahun lalu. Kita bagi sokongan kepada dia, kerana BN dan Perikatan lah kamu jadi Perdana Menteri dulu. Jangan buat macam itu. "Fikirkanlah apa yang beliau nak cakap, supaya jangan membuat satu keadaan yang orang boleh memutarbelitkan dan memanipulasikan situasi ini, ianya akan merugikan BN," katanya di sini, semalam. Beliau mengulas kenyataan Mahathir pada Ahad lalu yang mahu pengundi-pengundi di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar mengundi parti pembangkang untuk menjatuhkan BN dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, pada 18 Jun ini. Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad daripada BN yang terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak, pada 5 Mei lalu. Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, Pas hanya kalah tipis kira-kira 399 majoriti undi di Sungai Besar dan hanya ketinggalan kira-kira 1,082 majoriti undi di Kuala Kangsar.


×