Zainuri Zainal
A
A

SHAH ALAM – Ketua Pemuda Umno Selangor, Zainuri Zainal tidak bersetuju sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin disisihkan kerana beliau masih lagi Timbalan Presiden Umno.

"Takkan nak buang Tan Sri Muhyiddin Yassin macam tu saja? Walaupun beliau bukan lagi timbalan perdana menteri, namun masih orang nombor dua dalam Umno dan harus dihormati," katanya.

Beliau hairan bagaimana tersebar khabar angin mengatakan Muhyiddin akan dihalang daripada merasmikan perhimpunan agung sayap ketika Perhimpunan Agung Umno Disember depan.

“Keputusan itu akan ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, bukannya dibincang di kedai kopi.

“Setakat ini, belum pernah terjadi lagi Perhimpunan Agung Sayap dirasmikan oleh orang lain selain Timbalan Presiden Umno. Bagaimanapun sebagai pemimpin muda, kita akur dengan keputusan mesyuarat MT,” katanya kepada Sinar Harian.

Zainuri turut mengingatkan ahli Umno lain untuk menghormati bekas timbalan perdana menteri itu, bukan sekadar bersandarkan jawatan tetapi senioriti dalam parti, pengalaman dan jasa yang ditaburkan dalam kerajaan hampir 35 tahun.

“Sebaiknya tidak dilayan sebarang khabar angin yang bersifat melaga-lagakan, cakap itu, ini yang tidak berasas.

“Tambahan trend sekarang lompat parti sana sini untuk jadi tukang melaga-lagakan, sebab itu suasana politik caca marba dan memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Bagaimanapun, Zainuri berkata, beliau belum lagi mendengar desas-desus kononnya Muhyiddin akan diboikot pada Perhimpunan Agung Umno nanti gara-gara kelantangan beliau menyuarakan pandangan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), terutama selepas beliau tidak lagi bergelar timbalan perdana menteri.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut menafikan khabar angin berkenaan, sebaliknya disifatkan sebagai tidak sahih kerana sekadar menjadi bualan.


×