X

Kindly register in order to view this article
!

Perubahan akan bantu Pas kekal relevan

Datuk Nakhaie Ahmad
Datuk Nakhaie Ahmad
A
A

SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad meminta parti itu mengubah pendekatan mereka sekiranya mahu kekal relevan.

Nakhaie berkata, sekiranya ia tidak diubah, pengumuman dan usaha berkaitan pembentukan blok politik ketiga negara ini oleh Pas tidak membawa sebarang makna.

“Kita semua tahu Pas sebuah parti politik yang memperjuangkan kepentingan agama Islam dan kesuciannya. Tetapi pendekatan mereka perlu ditukar agar dapat diterima semua lapisan masyarakat.

“Sebab itu mereka perlu tukar pendekatan dan bukan prinsip serta dasar perjuangan mereka. Guna pendekatan yang boleh tarik orang muda sertai Pas, tarik mereka yang duduk atas pagar dan tarik orang bukan Islam sukakan Pas,” katanya. 

Katanya, dakwaan bahawa Pas sebuah parti tua dan jumud perlu ditangkis bagi memastikan usaha mewujudkan kuasa politik ketiga itu berjaya.

“Benar Pas sebuah parti lama tetapi pendekatan perjuangan itu perlu sentiasa segar. Jangan pula kita rasa bila sudah jadi parti lama, kita rasa apa sahaja tindakan kita orang terima.

“Contoh paling senang jika parti itu adalah tubuh badan, maka pendekatan itu adalah pakaian. Kalau baju buruk dan lusuh kita nak bawa masuk bertanding, susah untuk kita menang,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya Pas mengambil pendekatan terbaik untuk memberikan penjelasan berkenaan dengan hudud yang diperjuangkan selama ini.

“Pas perjuangkan keadilan mengikut ajaran agama, sudah pasti di dalamnya itu terkandung hukuman-hukuman.

“Jangan kita hanya laungkan hudud sehingga timbulkan persepsi negatif kepada orang bukan Islam. Alhamdulillah, saya lihat ada perkembangan positif sekarang apabila ditimbulkan perkara mengenai pemerkasaan mahkamah syariah,” katanya.

Tambah Nakhaie, beliau mengingatkan parti tersebut supaya bijak memilih rakan dan tidak terjerumus ke dalam permainan politik.

“Pas ada pengalaman luas dalam arena politik negara ini, di mana mereka pernah kalah, pernah menang, ada kerusi dan tiada kerusi. Itu tidak mengapa asalkan perjuangan masih di landasan betul,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!