Pemuda Umno Gombak: Kehadiran Anwar tidak dialu-alukan

Megat Zulkarnain bersama Mohd Faizaruddin Mustafha (kanan) yang cedera ketika hadiri sidang media, semalam
A
A

GOMBAK - Di sebalik insiden 'politik ganas' disaksikan malam kelmarin, Pemuda Umno menegaskan penduduk kampung tradisi Batu 8 di sini tidak mengalu-alukan kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketua Pemuda Umno Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, sudah masanya Barisan Nasional (BN) bertindak menolak fitnah yang dilemparkan oleh Pakatan Rakyat (PR) yang berterusan  menipu rakyat. Menurutnya, pihaknya tidak menghalang ceramah tetapi tidak suka pengisiannya yang berunsur pembohongan yang akhirnya memberikan perasaan benci kepada pemimpin negara. "Rakyat mahukan jaminan yang bakal dilaksanakan oleh mereka untuk membela nasibnya bukan mendengar ceramah untuk memburukkan pemimpin negara. "Wakil rakyat Gombak (Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali) yang dilantik (dipilih) sibuk berjuang isu luar tetapi penduduk di sini yang berhadapan masalah banjir sehingga kini masih tidak dibantu," katanya kepada pemberita. Katanya, tindakan kotor penyokong PR yang membaling objek seperti batu hingga menyebabkan kecederaan adalah tindakan sebenar parti tersebut yang tidak berani bersemuka dengan pihaknya. "Mereka turut membawa orang luar untuk memenuhi ruang sedangkan pada malam itu penerimaan penduduk di sini adalah hambar. "Anwar turut menggunakan ruangan sempit untuk menunjukkan jumlah penyokongnya yang ramai berbeza pada masa dahulu apabila ceramahnya di padang dan dewan," katanya. Malam kelmarin berlaku pertembungan program terdiri ceramah Merdeka Rakyat oleh PR dan Taklimat Pilihan Raya Batu 9 oleh BN hingga menyebabkan pergaduhan ditimbulkan provokasi kedua-dua belah pihak. Tindakan polis berjaya mengawal keadaan dan meleraikan pertelingkahan penyokong kedua-dua parti.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

×