Pas punca mesyuarat Majlis Presiden tangguh

Wan Azizah Wan Ismail
A
A

KUALA LUMPUR - Pas didakwa menjadi punca mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan ditangguhkan buat kali kedua selepas gagal memberi maklum balas bagi membincangkan isu PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, maklum balas itu penting memandangkan sebelum ini Pas sudah menyatakan hasrat untuk bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen itu.

“Kita masih menunggu respons daripada Pas. Kita sudah ada mesyuarat tertutup sebelum ini. Memandangkan Pas bertanding di dua kerusi berkenaan pada pilihan raya sebelum ini.  

“Isu itu menjadi asas dalam rundingan kita, mencari bagaimana untuk selesaikan isu itu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, semalam.

Terdahulu, mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dijadualkan diadakan semalam, bagi membincangkan parti dan calon mereka di dua PRK itu, ditangguhkan sebanyak dua kali selepas ditunda pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, tarikh baharu mesyuarat itu masih belum dimuktamadkan sehingga satu keputusan diambil sama ada mahu melibatkan Pas atau sebaliknya.

Kelmarin, Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa tidak menerima sebarang pengesahan rasmi berkaitan mesyuarat tersebut.

Sebelum ini juga, Amanah berhasrat meletakkan calonnya untuk bersaing dengan Pas, khususnya di Parlimen Sungai Besar kerana parti Islam itu bukan lagi sekutu pakatan pembangkang itu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada minggu lalu mengulangi pendiriannya bahawa parti Islam itu akan meletakkan calonnya di dua kerusi Parlimen berkenaan yang akan berlangsung 18 Jun ini.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan dua penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.


×