X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih 30 NGO mahu Ahmad Zahid kekal terajui Umno

Syed Muhammad Imran Syed SN Syed Abdul Aziz
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) bersama lebih 30 pertubuhan bebas (NGO) mengusulkan memorandum sokongan terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk terus kekal menerajui parti itu.

Presiden PSUAM, Syed Muhammad Imran Syed SN Syed Abdul Aziz berkata, Presiden Umno perlu terus cekal dan berani membuat apa sahaja keputusan demi kebaikan dan kepentingan dalam parti, lebih-lebih lagi dalam keadaan Umno sedang dilanda 'tengkujuh lompat parti'.

“Serangan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap Ahmad Zahid ketika ini termasuk daripada bekas ahli Umno yang keluar parti, jelas hanya sekadar serangan persepsi bertujuan mendesak presiden Umno untuk melepaskan jawatannya.

“Ahmad Zahid harus dikekalkan sebagai Presiden Umno kerana beliau seorang cekal, berjiwa besar, mesra rakyat dan prihatin terhadap akar umbi. Ini merupakan hanya satu persepsi daripada segelintir ahli Umno yang bersifat rakus terhadap jawatan tetapi membuat tuduhan palsu terhadap presiden," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, antara tuduhan palsu termasuk dakwaan Ahmad Zahid lakukan kerjasama bersama DAP bagi membentuk kerajaan, dikatakan tidak ada hala tuju sedangkan pelbagai perkara sudah beliau laksanakan, contoh terbaik adalah langkah kerjasama dengan Pas.

"Tuduhan lain pula seperti gagal selesaikan masalah kewangan parti, sedangkan semua maklum bahawa akaun Umno disekat kerana beberapa pertuduhan, malah jika beliau tidak bercampur dengan mana-mana parti pun dituduh dengan pelbagai tohmahan sehinggakan beliau perlu meletakkan jawatan,” katanya.

Syed Muhammad Imran berkata, selepas menilai dari pelbagai aspek, kesemua lebih 30 NGO terlibat sepakat untuk menyatakan sokongan penuh kepada Ahmad Zahid selaku Presiden Umno.                 

“Segelintir ahli parlimen Umno yang bertindak keluar jelas bukan pemimpin atau pejuang Umno sebenar sebaliknya hanya pandai mengambil kesempatan untuk kepentingan sendiri,” katanya.

Menurutnya, sebagai presiden parti, Ahmad Zahid perlu lebih tegas ketika ini dalam membuat keputusan dan tidak berlembut dengan mereka yang menggunakan alasan keluar parti sebagai ugutan.

"Presiden Umno harus berani dalam membuat keputusan demi kebaikan dan kepentingan parti Umno, tidak perlu mendengar daripada Ahli Parlimen BN atau Umno yang ingin keluar parti kerana mereka ini bukanlah sebenar-benar pejuang Umno.

"Kami juga memohon kepada presiden supaya mengenakan tindakan disiplin atau pecat keahlian Umno kepada ahli parti yang menganggu-gugat kepimpinan sekarang yang diputuskan menerusi undian ahli Umno," katanya.


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus