X

Kindly register in order to view this article
!

Dari kiri Mohd Nor, Tengku Putera dan Mamad sewaktu Hari Penamaan Calon, kelmarin.
Dari kiri Mohd Nor, Tengku Putera dan Mamad sewaktu Hari Penamaan Calon, kelmarin.
A
A

HULU TERENGGANU - Kerusi Dun Kuala Berang diramalkan kerusi paling sengit pada PRU14 ini berbanding Dun-Dun lain dalam Parlimen Hulu Terengganu kerana tiga nama besar bertembung bagi misi menawan N23.

Pertembungan tiga penjuru itu melibatkan penyandang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang (BN), Dr Mamad Puteh (Pas) serta Mohd Nor Othman (PKR) yang kesemuanya cukup dikenali rakyat Kuala Berang.

PKR boleh menang jika guna formula orang lama

Berdasarkan ‘formula’ cakap orang lama, sekiranya orang Kampung Buluh menjadi calon tentunya akan menang apatah lagi pengundi khususnya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Buluh memilih sentimen ‘orang kampung’ sendiri berbanding parti.

Kalau sekadar dilihat dari sudut itu semata-mata, tentunya ia khabar gembira buat PKR kerana calonnya yang pernah bergelar Ahli Parlimen BN (2008-2013) berasal daripada Kampung Buluh, di sini.

Namun, formula itu bukan satu jaminan kemenangan atau keputusan rasmi pada PRU14 kali ini kerana BN dan Pas yang sebelum ini menjadi parti tradisi berentap di N23 pastinya punyai penyokong tegar masing-masing.

Calon BN galas amanah pertahankan kerusi

Mengulas mengenai pertembungan tiga penjuru di kerusi N23, Tengku Putera (BN) berkata, beliau secara peribadinya melihat ia bukan sebagai satu halangan dan BN di Kuala Berang tidak gentar bahkan yakin kerusi berkenaan dapat dipertahankan.

“Berapa pun penjuru, kita harap setiap calon bertanding termasuk saya sendiri paparkan kebolehan serta tawaran-tawaran manifesto yang dirancang untuk masa depan rakyat agar rakyat dapat menilainya.

Disyorkan artikel ini:

“Pengundi diharapkan dapat nilai rekod parti yang bertanding kerana perkara ini bukan main-main atau sekadar sentimen ketidakpuasan hati tetapi soal masa depan.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi membuat keputusan secara rasional dan bukannya memilih berdasarkan sentimen tersebut.

Jelasnya, demi memastikan kesejahteraan rakyat, BN tentunya memiliki kekuatan untuk membawa negara terus melangkah maju ke depan.

“Tentunya juga kita harapkan majoriti undi meningkat berbanding PRU13 lalu.

“Kemenangan dengan majoriti undi yang besar secara tidak langsung menunjukkan perpaduan dan kemuafakatan dalam kalangan orang di Dun Kuala Berang,” katanya ketika ditemui di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu.

Jangan nafi kekuatan Pas di Kuala Berang

Sementara itu, Dr Mamad (Pas) ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya yakin mampu menang kerana Pas juga ada kekuatan tersendiri dan PRU10 sebagai salah satu bukti.

Menurutnya, berdasarkan isu-isu semasa terutamanya kos beban hidup rakyat yang kian meningkat kini, tidak mustahil sejarah tercipta pada tahun 1999 lalu berulang kembali khususnya di Kuala Berang.

“Dengan keadaan beban hidup dirasai oleh semua rakyat tanpa mengira sebarang fahaman politik, bukan sahaja penyokong Pas akan tetap sokong Pas tetapi tidak mustahil penyokong BN boleh lakukan undi protes dan akan undi Pas.

“Pengundi-pengundi atas pagar mampu jadi penentu dan dengan pelbagai isu semasa, kita percaya golongan ini akan bersama-sama Pas. Bagi pengundi Cina pula bukan semuanya memilih BN, mereka juga akan bersama kita.

“Kita percaya, pengundi Dun Kuala Berang inginkan perubahan.

"Walaupun berdepan tiga penjuru, pengalaman bergelar Adun Kuala Berang (1999-2004) dapat bantu untuk dekatkan diri dengan pengundi,” katanya.

Bagi Mohd Nor (PKR), beliau yakin bahawa angin perubahan telah pun berlaku di Kuala Berang dan dengan isu-isu melibatkan dua parti lawan, tidak mustahil penyokong-penyokong fanatik akan berubah angin dengan memilih Pakatan Harapan.

“Tidak dinafikan calon Pas dan BN punyai pengaruh serta nama besar di Kuala Berang tetapi saya yakin pengundi-pengundi yang memilih saya sewaktu bertanding di bawah lambang BN dahulu akan lakukan hal sama juga kali ini.

“Terutamanya pengundi-pengundi di kampung saya sendiri iaitu di Kampung Buluh dan begitu juga di PDM Gaung, Tanjung Putat serta Pekan Kuala Berang,” katanya sewaktu ditemui.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!