Jawatankuasa Pemandu tidak jejas kuasa MB

Datuk Seri Azizan Abdul Razak
A
A

ALOR SETAR - Kedah tertakluk pada Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah, walaupun Jawatankuasa Pemandu diwujudkan Pas Pusat bagi memantau perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri. Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, berdasarkan perlembagaan negeri itu, kuasa Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tidak terjejas kerana ia adalah kuasa eksekutif tertinggi dalam pentadbiran. “Mana-mana negeri ikut perlembagaan negeri. Jawatan­kuasa Pemandu sekadar bagi pandangan tak kan pula tidak boleh bagi nasihat. Memang perkara seperti itu tiada dalam perlembagaan Kedah, tetapi orang bagi nasihat, kita dengarlah,” katanya. Azizan turut menyangkal dakwaan konon penubuhan jawatankuasa itu antara usaha mengehadkan kuasa Menteri Besar, sebaliknya menyifatkan ia sebagai sebuah badan penasihat. “Saya sendiri pun belum dapat maklumat terperinci mengenai jawatankuasa itu. Macam mana nak komen, lebih baik tunggu ia diwujudkan dahulu, barulah tahu peranan dan ke mana perlu dirujuk,” katanya. Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar sebelum ini berkata, Pas Pusat akan membincangkan mekanisme penubuhan Jawatankuasa Pemandu dalam mesyuarat bulanan parti itu, Isnin depan.


×