X

Kindly register in order to view this article
!

Guan Eng: Pas tidak boleh halang saya kritik Hadi

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan ahli Pas tiada hak untuk menghalang beliau daripada terus mengkritik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Ahli Parlimen Bagan itu berkata, sebaliknya beliau akan terus memberikan kenyataan mengenai Abdul Hadi jika ada keperluan. “Bukan Pas yang perlu beritahu apa yang saya perlu buat. Hanya pemimpin DAP boleh beritahu saya apa yang perlu dibuat. “Apa yang saya tahu, DAP hanya menyatakan prinsip dan pendirian kami. Saya akan terus bercakap di mana dan bila perlu selagi berkait dengan kepentingan parti dan rakyat,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini. Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai rasa tidak senang ahli akar umbi Pas terhadap DAP yang berterusan mengkritik Abdul Hadi. Kelmarin, Guan Eng turut menyenaraikan lima soalan mudah yang perlu dijawab oleh Abdul Hadi bagi membuktikan komitmennya terhadap PR. Dalam pada itu, menurut Guan Eng, segala kenyataan yang dikeluarkan beliau adalah mewakili keseluruhan parti. “Apabila saya bercakap mengenai pendirian parti, saya bukan bercakap secara individu. “(Abdul) Hadi boleh bercakap secara individu tetapi saya mewakili keseluruhan parti,” katanya. Guan Eng juga secara sinis mengatakan Abdul Hadi akan menggalakkan beliau untuk terus ‘bercakap’ jika ia memberi kelebihan kepada Ahli Parlimen Marang itu. “Jika itu memberi kelebihan kepada (Abdul) Hadi, saya pasti dia akan galakkan saya bercakap lebih banyak,” katanya. Semalam, Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengatakan serangan DAP kepada Abdul Hadi akan membantunya meraih undi dengan lebih mudah dalam persaingan jawatan presiden pada muktamar parti, Jun ini. Katanya, kritikan yang dilemparkan terhadap Abdul Hadi hanya akan menyebabkan lebih ramai ahli Pas bersimpati kepada beliau.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!