Hadi (tengah) dalam sidang media selepas Ceramah PRU14.
A
A

ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diminta merujuk maksud munafik dengan mufti terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan itu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Dr Mahathir diharapkan membuat rujukan sebelum mengelarkan dirinya dengan panggilan munafik.

Abdul Hadi berkata, Dr Mahathir bukanlah ahli agama untuk mengelarkan dirinya dengan panggilan sedemikian, sedangkan munafik atas istilah agama.

"Yang pertamanya, munafik ini istilah agama, sedangkan dia bukan ahli agama. Jikalau tanya tentang penyakit tibi, tentang perubatan, dia layaklah bercakap.

"Sepatutnya, saya tak jawab. Biarlah, biarlah dia tanya mufti tentang agama, apa makna dia munafik itu biar munasabah mendapat takrifnya yang betul," katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam sidang media selepas Program Ceramah PRU14 anjuran Majlis Tindakan Dun (MTD) Anak Bukit, di Medan Ilmu Sungai Baru Gunung, semalam.

Abdul Hadi berkata sedemikian ketika diminta mengulas  dakwaan Dr Mahathir terhadap dirinya yang didakwa sebagai munafik kerana kononnya menjalin kerjasama dengan Umno.

"Yang keduanya, dalam ucapan saya tidak pernah menyebut si anu, si anu kafir. Apa yang kita sebut, ialah batas-batas iman dan kufur kepada orang Islam, itu sahaja.

"Mereka yang membawa budaya kafir-mengkafir dalam Pas masuk Umno. Dia tinggalkan Pas masuk Umno. Pas selamat daripada hal ini," katanya.

Menurutnya, dalam politik kita tidak boleh bermusuh selama-lama dan berkawan selama-lama, bagaimanapun kita diajar berkawan ada batas, bermusuh ada batas.

"Jangan 100 peratus bermusuh tak ada batas, tak dak limit, kerana suatu hari nanti akan ada perubahan. Sebab itu, saya nasihatkan orang Pas kalau berkelahi ada batas, politik matang dan sejahtera. Ini diamalkan Pas," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi  Pakatan Harapan (Harapan), Dr Mahathir mendakwa Abdul Hadi sebagai munafik apabila didakwa bekerjasama dengan Umno dalam  Sesi Santai Negarawan di FELDA Bukit Goh, Kuantan, kelmarin.


×