SADE tidak libatkan bajet pembangunan infrastruktur negeri

IZHAM
IZHAM
A
A
A

SHAH ALAM - Skim Air Darul Ehsan (SADE) merupakan program penjajaran semula pemberian air percuma kepada kumpulan sasar penduduk negeri Selangor dan tidak melibatkan bajet atau peruntukan yang dikhususkan untuk projek atau kerja-kerja pembangunan infrastruktur dalam negeri.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, program penjajaran itu juga dilaksanakan untuk golongan B40 yang benar-benar memerlukan selaras dengan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Selangor.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor juga tidak pernah menggunakan alasan program penjajaran untuk mengurangkan kos apatah lagi diagihkan duit itu untuk tujuan lain.

"Bajet tahunan untuk aktiviti IPR di Selangor sentiasa bertambah sama ada melalui peruntukan negeri atau CSR (tanggungjawab sosial korporat) anak-anak syarikat kerajaan negeri.

"Justeru, tidak benar jika bajet yang dikatakan berjaya dijimatkan (selepas Program Pemberian Air Percuma ditamatkan) akan digunakan untuk kerja-kerja pembangunan infrastruktur," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, untuk pembangunan infrastruktur ia mempunyai bajet tersendiri di mana kerajaan Selangor memperuntukkan bajet berjumlah sekitar RM337 juta untuk setahun.

Bagaimanapun katanya, jumlah peruntukan untuk program Program Pemberian Air Percuma yang dijalankan sejak 2008 dan program SADE tidak dapat didedahkan buat masa ini kerana beliau perlu membuat semakan terlebih dahulu memandangkan ia melibatkan banyak tempat.

Pelaksanaan program SADE bermula 1 Mac lalu yang menawarkan pemberian 20 meter padu air percuma secara bersasar kepada penduduk Selangor yang layak.

Artikel Berkaitan:

Berikutan pelaksanaan skim berkenaan, Program Pemberian Air Percuma kepada 1.6 juta pemegang akaun Air Selangor yang mula diperkenalkan pada tahun 2008 turut berakhir.

Sehingga tarikh tutup permohonan skim pada 31 Disember 2019, kerajaan Selangor menerima sebanyak 211,344 permohonan tetapi hanya 184,020 pemegang akaun meter individu layak menerima skim ini.

Bagi pengguna meter pukal di pangsapuri kos rendah, mereka akan terus menikmati 20 meter air percuma di bawah program SADE secara automatik.