Konvoi lebih 300 km bawa daun ketum

Zulkifli (kiri) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Superintendan Joehany Fitry Mohamed (kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas daripada empat lelaki yang berkonvoi ke Kelantan.
Zulkifli (kiri) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Superintendan Joehany Fitry Mohamed (kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas daripada empat lelaki yang berkonvoi ke Kelantan.
A
A
A

GERIK - Cubaan empat lelaki berkonvoi membawa lebih satu tan daun ketum ke Kelantan berjaya dipatahkan anggota polis dalam sekatan jalan raya di KM9, Jalan Gerik- Jeli berhampiran Sungai Lebey di sini, Jumaat lalu.

Dalam pemeriksaan sekitar jam 9 malam itu, polis menahan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Chery Eastar yang sarat dengan 133 bungkusan berisi 1.33 tan daun ketum.

Zulkifli
Zulkifli

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, polis menahan kesemua suspek berusia 27 hingga 37 tahun itu bersama daun ketum bernilai RM13,000.

“Dalam kejadian itu, anggota yang memeriksa kenderaan jenis Isuzu D-Max yang dinaiki dua lelaki telah menemui 68 bungkusan plastik di bahagian but dan 20 minit kemudian sebuah MPV tiba dan pemeriksaan sama menemui 65 bungkusan dalam kenderaan tersebut.

Isuzu D-Max salah sebuah kenderaan yang disita membawa daun ketum.
Isuzu D-Max salah sebuah kenderaan yang disita membawa daun ketum.

“Kedua-dua kenderaan terbabit serta barang rampasan disita dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek berasal dari Kelantan itu dipercayai berkonvoi lebih 300 kilometer untuk mendapatkan bekalan daun ketum dari Kedah.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian daun ketum yang dirampas dari dua kenderaan yang dinaiki empat lelaki.
Sebahagian daun ketum yang dirampas dari dua kenderaan yang dinaiki empat lelaki.

“Modus operandi mendapati mereka yang mengambil upah antara RM500 dan RM300 menuju ke Sik, Kedah sebelah pagi untuk ambil daun ketum sebelum bawa semula ke Pasir Mas, Kelantan.

“Aktiviti itu dipercayai aktif sejak sebulan yang lalu berikutan suspek mendapat upah bagi setiap perjalanan selain terdapat permintaan tinggi terhadap bekalan daun tersebut.

Zulkifli berkata, siasatan lanjut mendapati hanya pemandu Isuzu D-Max mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

“Kesemua suspek direman selama empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Tangkapan itu merupakan kejayaan terbesar setakat ini. IPD Gerik berjaya merampas 2.7 tan daun ketum serta 276.8 liter air ketum membabitkan 49 kes sepanjang Januari hingga Ogos lalu dengan melakukan 62 tangkapan,” katanya.