Penduduk kampung minta bantu selesai isu jalan pintas

Abdul Samad (kanan) menunjukkan kesan kemalangan maut yang berlaku melibatkan penduduk kampung di situ, baru-baru ini.
Abdul Samad (kanan) menunjukkan kesan kemalangan maut yang berlaku melibatkan penduduk kampung di situ, baru-baru ini.
A
A
A

KUBANG PASU - Penduduk dari Kampung Kandis dan Kampung Meribut di sini, meminta pertimbangan pihak berkuasa untuk meletakkan tanda amaran atau had laju di jalan utama Kodiang-Jitra berikutan jalan berkenaan dijadikan laluan pintas oleh orang ramai memandangkan lokasi pusingan U yang agak jauh.

Seorang penduduk, Mohd Izham Saebon,29 berkata, penduduk menggunakan jalan pintas itu untuk menyeberangi jalan kerana pusingan U terletak lebih satu kilometer namun situasi itu dikhuatiri mengakibatkan kemalangan.

Katanya, jalan berkenaan telah meragut nyawa kakaknya, Marziana,42, dua bulan lalu selepas Allahyarham menggunakan jalan pintas itu ketika pulang dari pasar pagi.

"Arwah kakak saya meninggal dunia di lokasi selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan berkenaan kira-kira jam 9.15 pagi.

"Keadaan jalan di sini lurus dan berdekatan dengan masjid, sudah menjadi kebiasaan penduduk yang menunggang motosikal menggunakan jalan pintas ini setiap hari samada untuk menghantar anak ke sekolah, masjid, sawah dan ke pasar," katanya ketika ditemui di Kampung Kandis di sini.

Timbalan Pengerusi Masjid al Barakah Kampung Kandis, Abdul Samad Musa, 61, pula berkata, kira-kira 80 anak kariah menggunakan jalan itu untuk ke masjid pada hari biasa dan 200 orang ketika solat Jumaat.

Jalan pintas yang dibuat oleh penduduk kampung untuk memudahkan urusan harian mereka telah ditutup kembali oleh pihak JKR
Jalan pintas yang dibuat oleh penduduk kampung untuk memudahkan urusan harian mereka telah ditutup kembali oleh pihak JKR

Katanya, dia sangat berharap pihak bertanggungjawab dapat melakukan sesuatu dengan meletakkan tanda amaran atau had kelajuan agar pengguna jalan raya lebih berhati-hati.

Artikel Berkaitan:

"Jika boleh ada garisan kuning di kedua-dua hala jalan lebih baik supaya pemandu kereta atau kenderaan berat boleh memperlahankan kenderaan apabila sampai di kawasan ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, jalan pintas itu telah ditutup beberapa kali oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), namun ia dibuka oleh penduduk kampung.

"Baru-baru ini ia ditutup kembali dan saya harap penduduk kampung serta jemaah masjid dapat menggunakan pusingan U yang disediakan bagi mengelak kemalangan.

"Saya faham pusingan U tersebut agak jauh iaitu lebih satu kilometer, namun ia untuk kebaikan semua berikutan keadaan jalan di situ lurus dan semua kenderaan akan laju. Saya akan berbincang dengan pihak JKR untuk melihat kesesuaian sekiranya boleh diletakkan tanda amaran had laju atau sebagainya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.