Tubuh Syarikat Pengurusan Air Wilayah Persekutuan

 Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah
Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa diminta mempertimbangkan cadangan untuk menubuhkan Syarikat Pengurusan Air Wilayah Persekutuan bagi menguruskan perkhidmatan pembekalan air kepada seluruh kawasan liputannya agar rakyat keseluruhan mendapat manfaat yang terbaik.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, cadangan itu perlu diteliti ekoran pengurusan pembekalan air yang efisien adalah amat penting.

Beliau berkata, ketika ini bekalan air ke seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Negeri Selangor diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Air Selangor.

"Saya berpendapat sudah tiba masanya Wilayah Persekutuan mengambil langkah untuk mewujudkan pengurusan bekalan air khusus di kawasan liputannya sendiri iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya supaya perkhidmatan air dapat diberikan dengan lebih efisien kepada penduduk di Wilayah Persekutuan ini.

"Selain itu, dengan wujudnya perkhidmatan ini ia dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga Wilayah dan sekali gus dapat meningkatkan taraf kualiti hidup mereka," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Tambahnya, adalah wajar bagi setiap negeri menguruskan pembekalan airnya sendiri.

"Jadi kenapa tidak Wilayah Persekutuan? Sedangkan negeri Perlis mampu menubuhkan Syarikat Air Perlis untuk menguruskan perkhidmatan bekalan airnya sendiri.

"Saya percaya Wilayah Persekutuan mampu melakukan tugas yang lebih baik apabila perkhidmatan yang lebih khusus dapat diberikan berbanding pada masa ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Irwan Rizal berkata, langkah itu juga dilihat dapat meringankan beban kerajaan negeri Selangor yang ketika ini menguruskan keseluruhan perkhidmatan air dari peringkat rawatan air sehingga ke pengagihan kepada lebih 7.5 juta penduduk di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 katanya, kerajaan Persekutuan yang mempunyai kuasa eksekutif terhadap segala perkara yang berhubungan dengan bekalan air disarankan untuk menyelesaikan isu ini.

"Menteri Wilayah Persekutuan, Menteri Alam Sekitar dan Air serta Menteri Besar Selangor perlu duduk semeja dan ketepikan perbezaan fahaman politik masing-masing untuk membincangkan serta menyelesaikan isu ini demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat," katanya.