X

Kindly register in order to view this article
!

Beruang matahari masuk perangkap

Beruang matahari jantan dengan anggaran berat kira-kira 70 kilogram itu memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) kira-kira jam dua pagi tadi.
A
A

MARANG - Penduduk Kampung Jenang, di sini menarik nafas lega apabila beruang matahari yang mengganggu mereka di kampung itu sejak empat bulan lalu akhirnya masuk perangkap, awal pagi tadi.

Beruang matahari jantan dengan anggaran berat kira-kira 70 kilogram itu memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) kira-kira jam dua pagi tadi.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jenang, Mustaffa Deraman berkata, pihaknya menghubungi PERHILITAN pagi semalam, sebelum anggota jabatan itu mula memasang perangkap pada petang semalam.

“Dua ekor beruang matahari berjaya masuk perangkap tapi seekor beruang betina dapat melepaskan diri. Beruang ini ditangkap ketika masuk ke kebun kelapa penduduk kampung, iaitu kira-kira lima meter dari kediaman penduduk.

“Kita buat perangkap susulan untuk menangkap pasangannya memandangkan mengikut pengalaman, kita percaya seekor lagi mungkin kembali mengganas kerana mencari pasangannya yang hilang.

"Sebelum ini, beruang akan datang dan ambil umbut serta buah kelapa di kebun milik penduduk dan masuk kembali ke hutan tetapi sejak dua minggu lalu, ia semakin kerap datang menyebabkan penduduk bimbang keselamatan mereka," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mustaffa Deraman
Mustaffa Deraman

Mengulas lanjut, Mustaffa berkata, penduduk kampung kerugian kira-kira RM2,000 apabila banyak kelapa dimusnahkan dan beruang matahari itu semakin berani menceroboh kawasan kediaman penduduk termasuk pada waktu siang.

Sehingga kini katanya, sudah empat kawasan kediaman yang sudah diceroboh dan lima buah kebun kelapa dimusnahkan menyebabkan mereka membuat aduan kepada PERHILITAN.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof ketika dihubungi berkata, beruang matahari atau nama saintifiknya Helarctos Malayanus yang ditangkap itu dianggarkan berusia lapan tahun dan akan dihantar ke Taman Negara Terengganu.

Selain itu, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan seekor lagi beruang betina yang masih bebas dan pihak PERHILITAN akan memasang perangkap bagi menangkap seekor lagi haiwan berkenaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!