Bomba kenal pasti kawasan lewat tiba jika kecemasan

Azlimin memeriksa barisan kawalan kehormat pada Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Terengganu di sini, hari ini.
Azlimin memeriksa barisan kawalan kehormat pada Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Terengganu di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu telah mengenal pasti 10 lokasi kritikal yang menyebabkan pihaknya mengambil masa yang lama untuk tiba sekiranya berlaku kecemasan.

Pengarahnya, Azlimin Mat Noor berkata, kekangan itu menyebabkan bomba mengambil masa yang lama, sekali gus melebihi masa tindak balas.

“Di Terengganu, ada kawasan yang padat menyebabkan kita sukar untuk pergi disebabkan oleh trafik dan kesesakan seperti di Kuala Terengganu sendiri. Contohnya, nak sampai ke Atas Tol, Chendering dan Bukit Payong, ia akan mengambil masa yang agak lama.

“Selain itu, tempat yang jauh seperti di Merchang, Marang serta Felda Chalok dan Sungai Tong, Setiu yang merupakan kawasan terpencil.

“Kita perlu mengatasi masalah ini agar masa tindak balas kurang 10 minit dapat diperbaiki dan ditingkatkan bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Terengganu di sini, hari ini.

Jelas Azlimin, bagi mengatasi masalah itu, pihaknya telah menyasarkan beberapa pendekatan antaranya ialah memperbanyakkan pasukan bomba sukarela (PBS) di kawasan-kawasan yang jauh dari penempatan balai bomba.

Secara tidak langsung katanya, PBS boleh bertindak dan melakukan gerakan awal jika berlaku kebakaran atau kecemasan di tempat tersebut.

“Sekarang ini kita sudah ada 12 pasukan bomba sukarela, 6 dalam proses dan kita sasarkan 10 ke 12 pasukan bomba sukarela akan dapat ditubuhkan di seluruh daerah di Terengganu, dengan kekuatan anggota sekurang-kurangnya 10 orang bagi setiap pasukan.

Artikel Berkaitan:

“Di Kuala Terengganu mungkin akan ada 3 pasukan PBS dan kita melihat kepada penempatan balai yang jauh seperti di Setiu. Dengan cara itu, ia dapat mengurangkan kos peruntukan kerajaan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Kelebihan bomba sukarela ini adalah kita berikan geran tahunan sebanyak RM3,000 setahun untuk pembaikan dan kos-kos sampingan serta diberikan fasiliti berkaitan seperti pakaian, peralatan dan latihan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan baharu sahaja meluluskan pembinaan sebuah balai bomba Gred C, iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, dengan kos RM4.5 juta.

Katanya, proses kerja tanah akan bermula pada tahun ini di kawasan bandar baharu Kuala Nerus dengan keluasan 3 ekar dan dijangka akan mula dibina pada tahun 2020 dan siap pada tahun 2021.