X

Kindly register in order to view this article
!

Arab Saudi mahu tamatkan tanggapan sebagai mesin ATM

Pendapatan Arab Saudi berkurangan berikutan kejatuhan harga minyak. - Foto AFP
A
A

DARI Pakistan ke Lubnan, Arab Saudi sedang menarik semula diplomasi 'buku cek', satu dasar lama yang menghabiskan banyak wang menerusi pengeksportan minyak untuk pertukaran kepada pengaruh yang mana para pemerhati berkata, ia cuma memperoleh beberapa manfaat sahaja.

Selama berdekad-dekad, negara kaya beraja itu menyalurkan berbilion-bilion bantuan kepada sekutu-sekutu dan beberapa musuhnya sebagai percubaan untuk memperkukuhkan peranannya sebagai sebuah kuasa Arab dan pemimpin dunia Islam.

Namun, kejatuhan permintaan telah melemahkan pendapatan daripada hasil minyaknya.

Negara beraja itu kini memikirkan semula sekutu-sekutu lama yang mana para pemerhati Arab Saudi menyatakan ia telah menggunakan wang tunainya tetapi menawarkan pulangan kecil ketika Riyadh mencari keunggulan di rantau kewilayahan selain peningkatan saingan daripada seterunya iaitu Iran, Turki dan Qatar.

Mesir turut mendapat bantuan kewangan hasil kemurahan Arab Saudi. - Foto AFP
Mesir turut mendapat bantuan kewangan hasil kemurahan Arab Saudi. - Foto AFP

Sejumlah negara dari Jordan, Lubnan, Mesir, Palestin dan Pakistan merupakan penerima utama bantuan Arab Saudi pada dekad yang lampau, kata seorang pakar Asia Barat, Yasmine Farouk.

"Kesan dwi ekonomi iaitu koronavirus (Covid-19) dan harga minyak yang rendah bagaimanapun mungkin menyebabkan Arab Saudi menerajui penyusunan semula dan rasional pemberian bantuannya.

"Negara itu kini sedang berusaha untuk menamatkan tanggapan bahawa ia menjadi sebuah mesin ATM (Mesin Teler Automatik)," katanya daripada Pembiayaan Carnegie Untuk Keamanan Antarabangsa..

Negara beraja itu telah menyumbangkan berbilion-bilion wang kepada Lubnan selepas perang saudara bagi pembinaan semula negara tersebut.

Namun, ia menyuarakan kekecewaan berhubung kegagalannya untuk mengekang Hezbollah, sebuah kumpulan yang berkuasa dan disokong oleh seteru Arab Saudi iaitu Iran.

"Arab Saudi tidak akan berterusan membayar bil-bil Hezbollah dan penduduk Lubnan pula perlu memikul tanggungjawab kepada tanah air mereka," kata seorang kolumnis Arab Saudi, Khalid al-Sulaiman yang menulis baru-baru ini untuk akhbar pro-kerajaan, Okaz.

"Arab Saudi tidak lagi mungkin meneruskan pembayaran berbilion-bilion (wang) kepada Lubnan pada waktu pagi tetapi menerima keaiban pada waktu malam.

"Situasi ini tidak lagi sesuai dengan dasar hubungan luar Arab Saudi yang baru ketika wang Arab Saudi tidak jatuh dari langit atau tumbuh di gurun," tambahnya.

Arab Saudi juga kelihatan kecewa dengan Pakistan selepas sekutu lamanya itu mendesak Riyadh mengambil pendirian keras di wilayah Kashmir yang dilanda perbalahan dan mengancam untuk membawa isu tersebut kepada forum Muslim lain.

Ancaman seumpama itu terutamanya membingungkan Arab Saudi yang merupakan lokasi tempat suci Islam dan digambarkannya sebgai pemimpin dunia Muslim.

Negara beraja itu baru-baru ini menarik balik pinjaman sebanyak AS$1 bilion (RM4.14 bilion) daripada AS$3 bilion (RM12.43 bilion) dari Pakistan yang diketahui mengalami kekurangan wang, kata satu sumber diplomat kepada AFP.

Katanya, kemudahan kredit minyak bernilai berbilion-bilion dolar yang telah berakhir tidak pula disambung, tambahnya.

"Elit Pakistan mempunyai satu kebiasaan iaitu mengambil kesempatan terhadap bantuan Arab Saudi, melihatkan apa yang telah dilakukannya untuk Pakistan selama beberapa dekad," kata seorang penganalisis dan penulis, Ali Shihabi menerusi Twitter.

Lubnan pernah menerima bantuan berjumlah berbilion-bilion dolar selepas perang saudara meletus. - Foto AFP
Lubnan pernah menerima bantuan berjumlah berbilion-bilion dolar selepas perang saudara meletus. - Foto AFP

"Bagusnya, parti sudah berakhir dan Pakistan perlu untuk menyampaikan nilai kepada perhubungan tersebut. Ia tidak lagi makanan tengah hari secara percuma atau menyebelahi satu pihak sahaja," ujarnya.

Hubungan Riyadh dengan Pakistan dari segi sejarahnya amat mesra tetapi ia kelihatan berat sebelah, kata seorang putera Arab Saudi, Putera Talal bin Mohammad al-Faisal.

"Ia hanya memberi manfaat pada satu pihak di dalam 'dunia sebenar'. Pihak itu ialah Pakistan," ujarnya.

Lebih mengejutkan ialah kebocoran audio pada tahun 2015 yang menunjukkan Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi didakwa menyindir kuasa-kuasa Teluk termasuk Arab Saudi dengan menyatakan mereka mengulung wang seperti nasi.

Sentimen itu juga berulang lagi pada tahun 2018 oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump apabila dia menjadi tuan rumah kepada Putera Mahkota, Putera Mohammed bin Salman di Pejabat Oval dan memegang satu carta penyenaraian penjualan peralatan ketenteraan bernilai berbilion-bilion dolar kepada Riyadh.

"Ambil duit mereka," kata Trump kepada Berita NBC pada tahun berikutnya, menyokong pemerintah negara beraja itu selepas pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi menggemparkan dunia.

Riyadh kini bergelut untuk memenangi penghormatan dan peranannya yang suatu masa dulu menerajui dunia Islam kini dicabar oleh seterunya, kata beberapa pemerhati Arab Saudi.

Arab Saudi semakin marah terhadap sekutu-sekutunya yang tidak 'berterima kasih' itu, kata Yasmine.

Negara-negara yang secara tradisinya memperoleh manfaat daripada kemurahan Arab Saudi termasuk Jordan, Lubnan dan Palestin kini telah pun melihat contoh-contoh (kemarahan itu) yang mana bantuan dibekukan, dikurangkan atau dipotong, tambahnya. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!