X

Kindly register in order to view this article
!

Sheikh Ghazali dilantik Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Syarak dan Sivil

Sheikh Ghazali Abdul Rahman
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Sheikh Ghazali mendahului senarai 10 pelantikan baharu bagi jawatankuasa itu yang lebih dikenali sebagai Jawatankuasa Teknikal.

Menurutnya, pelantikan baharu tersebut berkuat kuasa mulai 16 Ogos lalu hingga 15 Ogos 2023.

"Kerajaan melantik ahli-ahli baharu yang berkepakaran dan berpengalaman luas dalam hukum syarak, undang-undang syariah atau undang-undang sivil.

"Ahli-ahli yang baharu dilantik ini adalah dalam kalangan tokoh yang berintegriti, komited dan dihormati di pelbagai peringkat dan diyakini berupaya untuk memperkasakan kewibawaan Jawatankuasa Teknikal dalam memartabatkan kedudukan undang-undang syariah di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, barisan ahli jawatankuasa itu adalah bekas profesor Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr Abdul Monir Yaacob; bekas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya, Datuk Dr Hassan Ab Rahman dan Profesor Undang-Undang, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Datuk Sri Dr Zaleha Kamaruddin.

Selain itu, Peguambela dan Peguamcara, Peguam Syarie dan Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM merangkap bekas Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, Datuk Muhammad Asri Abdullah.

Ia juga dianggotai, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Malaysia, Datuk A Aziz A Rahim; Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, Datuk Mohamad Shakir Abdul Hamid; Profesor Syariah Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam merangkap Pengarah, Akademi Pengajian Islam UM, Profesor Datin Dr Raihanah Abdullah.

Turut dilantik adalah Peguambela dan Peguamcara dan bekas Timbalan Ketua Bahagian, Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara, Rodziah Muhammad.

Sementara itu, Dr Zulkifli berkata, penamatan keanggotaan Jawatankuasa Teknikal yang berkuatkuasa pada 15 Ogos lalu dilaksanakan mengikut tertib dan terma rujukan yang telah ditetapkan.

"Kerajaan berpendirian bahawa keanggotaan Jawatankuasa Teknikal perlu diteliti, dirombak serta disusun semula dan perkara ini sudah tentu melibatkan penamatan keanggotaan sedia ada, pelantikan ahli baharu dan pelantikan semula beberapa ahli sedia ada.

"Proses seumpama ini adalah satu proses yang normal dalam memperkasakan suatu jawatankuasa," katanya.

Menurut beliau, antara sumbangan utama Jawatankuasa Teknikal dari aspek penyeragaman undang-undang syariah di negara ini ialah penyeragaman lima undang-undang syariah pada 2001.

Katanya, ia membabitkan Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam, Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah, Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah.

"Dari aspek pengharmonian undang-undang syariah dan sivil, Jawatankuasa Teknikal memainkan peranan yang sangat signifikan dalam meminda Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan pada 1988.

"Ia dengan memasukkan Fasal (1A) yang memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil dan mahkamah di bawahnya tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah," katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli Jawatankuasa Teknikal yang terdahulu atas sumbangan dan kerjasama mereka sepanjang menganggotai Jawatankuasa Teknikal..

"Kerajaan juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua ahli Jawatankuasa Teknikal yang baharu dilantik," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!