Kerajaan kaji pengkelasan semula kumpulan isi rumah

Pengelasan baharu isi rumah yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada Julai lalu.
Pengelasan baharu isi rumah yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada Julai lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengkaji penggunaan konsep desil iaitu B1, B2, B3 dan B4 bagi mengklasifikasikan pendapatan rakyat di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, langkah itu dibuat agar ia selari dengan Survei dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES & BA) 2019 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

"Perkara ini sedang dipertimbangkan dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12, 2021-2025 selepas satu kajian lanjut pengkelasan semula kumpulan isi rumah dilaksanakan.

"Kajian ini akan mengambil kira ciri dan keperluan kumpulan pendapatan.

"Usaha ini dijangka akan membantu kerajaan mengenal pasti kumpulan khusus mengikut keperluan sebenar kumpulan pendapatan masing-masing seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Liew Chin Tong (PH) sama ada kerajaan akan mengubah klasifikasi pendapatan di Malaysia daripada B40, M40, dan T20 kepada B20, M60 dan T20 selepas Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) meningkat kepada RM2,208 berbanding RM980 pada tahun 2016.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, berdasarkan dapatan daripada Survei dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES & BA) 2019 yang dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia, had pendapatan bagi kumpulan B40 pada tahun 2019 yang merangkumi 2.91 juta isi rumah adalah di bawah RM4,849.

Katanya, had pendapatan kumpulan M40 yang melibatkan 2.91 juta isi rumah pula adalah antara RM4,850 hingga RM10,959.

Artikel Berkaitan:

"Sementara itu, sebanyak 1.46 juta iaitu rumah berada di kumpulan T20 dengan pendapatan melebihi RM10,960.

"Untuk makluman ahli Yang Berhormat, buat masa ini kerajaan masih menggunakan klasifikasi kumpulan pendapatan di Malaysia sedia ada iaitu isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah atau B40, isi rumah berpendapatan 40 peratus menengah atau (M40) dan isi rumah berpendapatan 20 peratus tertinggi iaitu T20," katanya.

Katanya, pengkelasan kumpulan isi rumah adalah mengikut amalan antarabangsa termasuk Bank Dunia.