Beri peluang syarikat tempatan terlibat projek ECRL: MB

Ahmad Samsuri -Foto: UPDI
Ahmad Samsuri -Foto: UPDI
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kontraktor utama bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction Company Ltd (CCCC) diminta untuk memberikan keutamaan kepada syarikat tempatan dari Terengganu bagi projek laluan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun mempunyai syarat-syarat yang ketat untuk dipenuhi, syarikat berkenaan diharap dapat mempertimbangkan aspek lokaliti dan pendedahan kepada syarikat tempatan.

Menurutnya, komponen projek ECRL di Terengganu yang akan dipenuhi syarikat tempatan melibatkan 40 peratus daripada keseluruhan projek iaitu kira-kira RM3 bilion daripada keseluruhan RM7 bilion.

“Kita harapkan CCCC dapat mempertimbangkan aspek lokaliti kerana ini tanah tumpah darah mereka. Bagaimana jika kami berada di sini sedangkan projek ini dilaksanakan oleh orang luar, tentulah ada rasa tidak berpuas hati dengan keadaan itu.

“Kita sedar CCCC mempunyai kaedah pemberian kontrak yang ketat dan sukar untuk dipenuhi oleh syarikat-syarikat tempatan.

“Dalam masa yang sama, mereka harus faham keadaan di Malaysia ini di mana keterlibatan syarikat-syarikat ini membuka ruang kepada kami untuk terlibat, bukan sekadar untuk keuntungan syarikat tetapi ia satu proses yang baik untuk syarikat-syarikat di Malaysia ini,” katanya.

Ahmad Samsuri (berdiri, tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembentukan Konsortium bagi Projek ECRL di Primula Beach Hotel di sini hari ini. -Foto: UPDI
Ahmad Samsuri (berdiri, tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembentukan Konsortium bagi Projek ECRL di Primula Beach Hotel di sini hari ini. -Foto: UPDI

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembentukan Konsortium antara Ahmad Zaki Sdn Bhd dengan GPQ Sdn Bhd dan MMC Engineering Sdn Bhd dengan P-Excell Management Sdn Bhd bagi Projek ECRL di Primula Beach Hotel di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, pembentukan konsortium antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat tempatan adalah sebagai satu kebersamaan dalam membida bagi mendapatkan sebarang projek kerja bagi ECRL di Terengganu.

“Kita sedar untuk syarikat-syarikat kecil sama ada di pihak kerajaan negeri atau syarikat anak-anak Terengganu sukar untuk mendapatkan projek ECRL kerana syarat-syarat yang ketat.

“Jadi kita bentuk konsortium ini untuk bina kekuatan agar saling bantu-membantu dan supaya kita boleh ‘push’ standard kita lebih tinggi dan harga yang kita tawarkan juga kompetitif. Kalau sendiri-sendiri, syarikat kecil sukar untuk mendapatkan kerja kerana standardnya ketat dan harga yang mencabar.

“Jadi, penubuhan konsortium ini akan membuka kita peluang dan kita berharap ia memberikan satu kelebihan. Kita boleh tunjuk betapa seriusnya kita dan syarikat lain di Terengganu untuk sama-sama membida projek ECRL,” katanya.