Empat lelaki ditahan ugut pemandu kereta

Shamsul Amar
Shamsul Amar
A
A
A

KLANG - Polis menahan empat lelaki kerana mengugut seorang pemandu kereta di lampu isyarat di Jalan Sungai Jati Klang di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu berlaku ketika seorang lelaki berusia 27 tahun yang berada di lampu isyarat terbabit dikatakan hampir dilanggar sebuah kereta dinaiki empat lelaki berkenaan yang melanggar lampu isyarat.

"Pemandu terbabit kemudian telah memberhentikan keretanya kerana terkejut sebelum kumpulan lelaki terbabit membunyikan hon beberapa kali.

"Suspek turut mengekori mangsa sehingga ke Taman Desawan Klang sebelum dikatakan menghalang kereta mangsa sebelum turun dua suspek menuju ke arah mangsa," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang bimbang dengan kejadian itu telah keluar dari keretanya dan mendapatkan bantuan kereta peronda polis yang berada berhampiran di lokasi terbabit sebelum kesemua suspek berjaya ditahan.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai akibat suspek yang tidak berpuas hati dengan mangsa yang dikatakan menunjukkan isyarat lucah kerana suspek melanggar lampu isyarat.

"Kes juga dipercayai berlaku disebabkan perselisihan faham. Tiada sebarang kecederaan terhadap mangsa dan tiada sebarang kerosakan harta benda dilaporkan.

"Siasatan masih dijalankan dan keempat-empat suspek berusia lingkungan 30-an telah ditahan reman dua hari untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: