Polis nafi berlaku kes culik di Pantai Teluk Kemang

Tular di Facebook berkenaan kes culik di Pantai Teluk Kemang.
Tular di Facebook berkenaan kes culik di Pantai Teluk Kemang.
A
A
A

PORT DICKSON - Polis menafikan berlaku kes penculikan kanak-kanak perempuan di Pantai Teluk Kemang seperti mana yang tular di Facebook semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berkenaan kejadian yang dinyatakan.

"Polis menafikan kejadian seperti didakwa yang mana seorang kanak-kanak perempuan telah dilarikan oleh seorang lelaki sejauh 3.5 kilometer dan ditinggalkan di hujung pantai.

"Berita ini tidak benar kerana tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun menurutnya, pada jam 2.30 petang semalam, polis ada menerima maklumat tentang kejadian kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun, namun telah pun dijumpai setengah jam kemudian.

Beliau berkata, kehilangannya bukan kerana diculik, tetapi dipercayai telah tersesat dan hilang daripada pandangan penjaga berikutan kesesakan pengunjung yang membanjiri kawasan itu pada cuti umum.

"Kanak-kanak itu telah ditemui semula oleh seorang pengusaha bot di kawasan Pantai 2 Teluk Kemang dan diserahkan dengan selamat kepada ibu bapa kanak-kanak tersebut.

"Jarak tempat hilang dan tempat dijumpai oleh pengusaha bot adalah lebih kurang 100 meter," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, polis menasihatkan orang ramai yang datang ke pantai supaya memastikan keselamatan ahli keluarga masing-masing serta menjaga penjarakan sosial sepanjang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).