Elaun sara hidup Felcra terhenti sejak Ogos

Aminuddin menyampaikan sumbangan awal persekolahan kepada salah seorang murid di SK Sikamat, semalam.
A
A

SEREMBAN - Felcra digesa supaya membuat pembayaran segera kepada peneroka di negeri ini bagi memastikan kelangsungan hidup mereka terus terjamin.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau telah meminta agensi berkenaan melihat dan meneliti masalah tersebut supaya agar pembayaran dapat dilakukan segera.

"Bantuan sara hidup kepada peserta Felcra bukan dihentikan, sebaliknya kelewatan bayaran itu berlaku disebabkan ada beberapa masalah yang perlu diatasi pihak berkenaan terlebih dahulu.

"Saya telah dimaklumkan mengenai masalah yang dihadapi peserta Felcra Rompin dan Felcra berjanji akan menyelesaikan masalah tersebut dengan segera," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sikamat, di sini, semalam.

Terdahulu, seramai 500 orang dari 100 keluarga peserta Felcra Rompin, Jempol mengadu elaun sara hidup sebanyak RM800 sebulan terhenti sejak Ogos tahun lalu.

Malah, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif mendakwa, tinjauannya di tanah rancangan berusia 37 tahun itu mendapati kehidupan peserta kini amat sengsara dan tidak ada sesiapa pun yang datang menghulurkan bantuan.

Aminuddin berkata, elaun sara hidup berkenaan penting bagi menampung kehidupan harian mereka yang bergantung kepada hasil getah sebagai pendapatan.

Sementara itu, sebanyak RM11 juta geran bantuan awal persekolahan telah diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan untuk diagihkan kepada murid yang layak di seluruh negeri ini.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia