Survival Melayu semakin parah

Mohd Azmi
Mohd Azmi
A
A
A

ALOR SETAR - Survival Melayu dilihat semakin parah akibat dibelenggu pelbagai krisis sehingga menyebabkan bangsa itu lemah di bumi sendiri.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, orang Melayu harus bangkit melakukan anjakan paradigma sekiranya enggan terus ketinggalan.

Menurutnya, antaranya melalui peranan intelektual Melayu dan kepimpinan politik Melayu yang sepatutnya menjadi tiang seri bangsa namun ternyata sudah goyang dan tidak lagi mampu menjadi penyangga kepada induk.

“Masih ada ruang untuk pulihkan Melayu bangkit sebagai bangsa disegani. Tidak harus ada alasan lagi. Kerenah dan pergelutan politik harus diketepikan, termasuk fanatik kepartian yang menjadi penghalang untuk kita bergerak ke depan,” katanya kepada Sinar Harian sempena sambutan bulan Maal Hijrah dan kemerdekaan.

Mohd Azmi berkata, pegangan kepartian hanya akan merugikan kerana menjadi benteng untuk jalin kerjasama dan berganding bahu menyelesaikan isu kemasyarakatan.

“Dulu dikatakan Melayu dalam dilema, kini bukan lagi dilema tetapi dalam krisis. Wujud fenomena Melayu sedang mencari jalan keluar daripada kemelut genting ini, namun belum temui penyelesaiannya.

Sama ada aspek ekonomi, budaya mahupun politik, termasuk kedudukan Melayu dalam pelbagai bidang seperti hartanah, pemilikan rumah, tanah rizab Melayu semakin menguncup,” katanya.

Menurutnya, kualiti intelektual Melayu dilihat tiada kesinambungan dan negara bakal berdepan dengan kegersangan golongan intelektual.

Artikel Berkaitan:

“Kita nampaknya tidak ambil peduli secara serius. Kita hanya dengar retorik mengenai gagasan di pentas seminar namun tiada penyelesaian konkrit. Survival bangsa Melayu pasti tergugat jika kita berdepan kegersangan keilmuan dan kepimpinan berkualiti.

Ini menyebabkan Melayu makin rapuh akibat asakan yang melemahkan Melayu selain disumbang oleh faktor dalaman seperti jati diri yang rapuh,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya mencadangkan pemikiran dua aras harus digabungkan demi survival Melayu.

“Aras pertama ialah melihat kepada kehidupan masyarakat Melayu bawahan dari aspek pemikiran dan kehidupan, manakala aras kedua dengan melihat sistem kepada kehidupan iaitu polisi pemerintah, pembangunan dan implementasi dasar. Tidak mustahil berlaku kebangkitan semula Melayu asalkan perubahan dua aras itu diberikan perhatian, selain pendekatan memilih pemimpin dan pentadbiran negara,” katanya.

Mohd Azmi berkata, langkah pemulihan perlu segera dilaksanakan, antaranya dengan memerangi kemungkaran dalam diri orang Melayu seperti pecah amanah, politik kotor dan rasuah.

“Orang Melayu perlu ada wawasan jelas dalam membina masyarakat yang kita mahukan. Perlu ada usaha untuk berubah ke arah positif, daripada individu hingga peringkat kolektif ummah, seterusnya ke peringkat pentadbiran,” katanya.

Menurutnya, sahsiah Melayu juga harus dibina semula susulan jati diri Melayu semakin terhakis sehingga gejala sosial Melayu makin parah.

“Keupayaan ekonomi Melayu juga perlu dibangunkan untuk cemerlang berdepan cabaran ekonomi, elak bergantung kepada bantuan pihak lain. Namun kita lemah dalam ekonomi dan keusahawanan hingga kekayaan kita dibolot pihak lain,” katanya.

Mohd Azmi berkata, budaya membaca dan pengukuhan ilmu bangsa Melayu juga wajar diperkukuhkan sebagai teras penting melengkapkan diri dengan ilmu.

“Akhir sekali, aktifkan institusi masjid untuk membina tapak bangsa menerusi penghayatan sahsiah lebih baik, namun peranan masjid wajar diangkat ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sambutan perhimpunan penggerak Melayu kebangsaan ke- 22 terpaksa ditangguhkan tahun ini susulan penularan Covid-19, yang sepatutnya dijadualkan pada 20 Ogos lalu.