STL 2020: Perak Bison optimis mampu beri saingan sengit

Pemain Perak Bison giat menjalani latihan sebagai persiapan mengharungi saingan STL 2020 musim ini.
Pemain Perak Bison giat menjalani latihan sebagai persiapan mengharungi saingan STL 2020 musim ini.
A
A
A

TAMPIL dengan status penyandang juara di sebalik format baharu pertandingan saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2020 diakui secara tidak memberi sedikit tekanan kepada Perak Bison pada musim ini.

Namun menurut Pengurus Perak Bison, Mohd Jaffrey Mohd Zainol, beliau optimis skuad kendalian Edy Yusman Abdul Manap itu mampu memberi saingan sengit berdasarkan komitmen padu dalam kalangan pemain-pemainnya sepanjang menjalani latihan baru-baru ini.

“Pertukaran format perlawanan pada musim ini dan status pasukan yang turun sebagai juara bertahan sedikit sebanyak ada memberikan tekanan kepada kami.

“Tetapi ia juga berikan pemain-pemain lebih semangat untuk gandakan usaha untuk memberikan yang terbaik dan tidak memberikan laluan mudah kepada mana-mana pasukan. Kita akan terus cuba pertahankan piala kejuaraan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengenai kombinasi Meor Zulfikar Mat Amin, Azwan Muhrim, Amirul Ramadan, Asyraaf Hadi dan Fadzil Mustapa dengan kemasukan tekong baharu Mohamad Firdaus Hamid yang mengisi kekosongan ditinggalkan Yus Hanif Rosli, Mohd Jaffrey menyifatkan perkara itu bukan masalah besar kepada skuad hitam kuning berkenaan.

“Firdaus Hamid bukanlah seorang yang asing kepada Perak Bison. Beliau telah menyarung jersi negeri Perak lebih dari 10 tahun di dalam kejohanan-kejohanan lain selain STL.

“Jadi pemain-pemain sedia ada telah bersama beliau sejak sekian lama, cuma ini penampilan beliau yang pertama dalam STL. Jadi saya tak nampak apa-apa masalah dalam pasukan membentuk keserasian,” katanya.

Mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mungkin sesuatu norma baharu kepada arena liga takraw tempatan, Mohd Jaffrey menegaskan bahawa Perak Bison amat memahami keperluan norma baharu dalam perlawanan.

Artikel Berkaitan:

“Kami di peringkat Perak Bison dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri, kita telah cuba memulakan amalan SOP tersebut di peringkat latihan supaya pemain tidak kekok semasa mulanya kejohanan nanti,” katanya.