Muhammad Fawwaz pergi dengan tenang

Mohd Bukhari (tengah) membaca doa untuk jenazah anaknya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang.
Mohd Bukhari (tengah) membaca doa untuk jenazah anaknya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang.
A
A
A

SEREMBAN - "Dia pergi dalam keadaan tenang dan tidak langsung mengerang kesakitan atau sesak nafas.

"Perginya sangat mudah pada hari mulia, hari Jumaat," kata Mohd Bukhari Zainal Annuar, 34, bapa kepada Muhammad Fawwaz Adli, 6, yang meninggal dunia selepas lebih setahun terlantar sakit akibat tragedi dihempap peti ais pada 12 Julai lalu.

Menurutnya, Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 5.40 petang ketika dalam perjalanan pulang ke Seremban selepas membuat rawatan saraf di sebuah hotel di Melaka.

Katanya, sebelum itu Allahyarham tidak menunjukkan sebarang tanda yang dia akan pergi selamanya dan berada dalam keadaan tenang selepas selesai menjalani rawatan.

"Tapi lebih kurang jam 4.30 petang, saya rasa tangan dan kaki dia dah sejuk, jadi saya buat keputusan bawa pulang ke Seremban.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhammad Fawwaz sudah tiada

"Ketika dalam perjalanan saya hubungi Hospital Tuanku Jaafar di sini yang kemudian mengesahkan Fawwaz telah meninggal dunia," katanya ketika ditemui selepas jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang di sini hari ini.

Mohd Bukhari berkata, sejak anak sulungnya itu terlantar sakit, beliau tidak pernah berhenti ikhtiar untuk mendapatkan rawatan demi kesembuhan Allahyarham.

Artikel Berkaitan:

Mohd Bukhari dan isteri, Siti Khadijah Mohd Daud reda pemergian Muhammad Fawwaz.
Mohd Bukhari dan isteri, Siti Khadijah Mohd Daud reda pemergian Muhammad Fawwaz.

Sementara itu, beliau turut meminta orang ramai supaya membuat laporan polis jika masih menerima mesej menggunakan gambar Allahyarham untuk meminta sumbangan.

Katanya, walaupun anaknya telah meninggal dunia semalam, namun masih ada individu tidak bertanggungjawab menyalah guna gambar anaknya.

"Saya nak ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang tak putus berdoa dan memberi sumbangan kepada saya selama ini untuk rawatan Fawwaz.

"Hanya ALLAH saja dapat membalasnya," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kejadian menimpa kanak-kanak itu pada 13 Julai 2019 dan tragedi itu mendapat perhatian netizen yang turut bersimpati.

Sinar Harian beberapa kali melaporkan perkembangan keadaan kesihatan Muhammad Fawwaz dan keluarganya tidak pernah berhenti berusaha mendapatkan pelbagai jenis rawatan dengan harapan kanak-kanak itu pulih.

.