Sanggup bawa air kencing kawan

Sebahagian daripada yang ditahan di bawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu bagi mendapatkan perintah tahanan reman. - Foto ihsan AADK
Sebahagian daripada yang ditahan di bawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu bagi mendapatkan perintah tahanan reman. - Foto ihsan AADK
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Cubaan seorang penagih menggunakan air kencing rakan bagi menggantikan air kencingnya gagal apabila tindakannya itu disedari anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Cegah di sekitar daerah ini dan Kuala Nerus.

Lelaki berusia 20-an itu antara 31 individu yang ditahan dalam operasi dilaksanakan oleh 20 anggota AADK dari Kuala Terengganu/Kuala Nerus bermula jam 11 pagi pada Selasa dan berakhir jam 4 pagi, Rabu lalu.

Difahamkan, lelaki terbabit yang ditahan semasa sedang berehat di rumah keluarganya cuba berdolak-dalik untuk memberikan sampel air kencingnya termasuk alasan tidak dapat kencing kepada anggota bertugas.

Bagaimanapun, helah terakhir lelaki itu untuk memperdayakan anggota AADK dengan meletakkan air kencing rakannya di dalam bekas air kencing itu gagal sebelum dia akhirnya terpaksa memberikan sampel yang disahkan positif dadah.

Siasatan awal mendapati lelaki itu sanggup membawa air kencing rakannya yang 'bersih' daripada barang terlarang itu 24 jam dengan meletakkan di dalam botol kecil dan menyembunyikan di celah seluar dalam dipakainya.

Stok air kencing rakan yang 'bersih' diletakkan di dalam botol kecil dan disembunyikan di celah seluar dalam dipakai. - Foto ihsan AADK
Stok air kencing rakan yang 'bersih' diletakkan di dalam botol kecil dan disembunyikan di celah seluar dalam dipakai. - Foto ihsan AADK

Air kencing itu dipercayai akan digunakan sebagai ganti air kencingnya setiap kali ditahan untuk pemeriksaan oleh pihak AADK ataupun Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Pegawai AADK Kuala Terengganu, Saufi Yusoff berkata, dalam operasi itu, pihaknya berjaya menahan 31 individu berusia antara 20 hingga 60 tahun yang kesemuanya ditahan di kediaman masing-masing hasil risikan dan maklumat awam diterima.

Artikel Berkaitan:

"Daripada kesemua yang ditahan itu, seramai 28 individu didapati positif dadah termasuk seorang penjawat awam iaitu 26 daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan dua positif dadah opiate.

"Hasil siasatan seterusnya, 22 daripada mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

"Enam daripadanya merupakan orang kena pengawasan (OKP) dan ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(2) Akta Penagih Dadah 1983," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.