Tiada pilih kasih dalam Malaysian Tigers

Arul Selvaraj
Arul Selvaraj
A
A
A

KETUA Jurulatih Malaysian Tigers, Arul Selvaraj menegaskan beliau tidak akan mewujudkan sentimen ‘pilih kasih’ terhadap pemain UniKL dalam mengendalikan pasukan negara.

Arul yang merupakan bekas jurulatih UniKL berkata, segala keputusan berkaitan kebaikan Malaysian Tigers adalah berdasarkan kepada prestasi semasa pemain dan bukannya pengalaman ataupun hubungan rapat dengan pemain berkenaan.

“Keutamaan saya prestasi Malaysian Tigers bukan lagi UniKL, itu fakta. Saya tidak boleh tengok pemain itu dari kelab mana. Bila saya pakai lencana KHM (Konfederasi Hoki Malaysia) fokus saya adalah pemain dan pasukan kebangsaan.

“Sebagai jurulatih, saya mahu terapkan falsafah semangat berpasukan. Jika suasana dalam pasukan bagus, sudah pasti keajaiban (kejayaan) boleh terjadi,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan pertamanya bersama skuad negara di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

KHM melantik Arul sebagai ketua jurulatih Malaysian Tigers dengan kontrak dua tahun selepas Roelant Oltmans meletak jawatan, hujung bulan lepas.

Mengenai pelantikannya, Arul berkata, sehingga kini beliau masih belum diberikan petunjuk prestasi utama (KPI) disebabkan ketiadaan kejohanan ekoran penularan pandemik Covid-19 di peringkat global.

“Saya akan buat perbincangan keseluruhan berkaitan KPI yang akan ditetapkan dengan KHM. Kejohanan Trofi Juara-juara Asia pada November ini menjadi landasan untuk uji pemain namun setakat ini tiada perbincangan mengenai KPI saya.

“Saya tidak mahu letak tekanan ke atas pemain disebabkan KPI saya, itu kurang tepat. Mesej saya kepada pemain ialah KPI adalah berorientasikan keputusan, saya lebih kepada prestasi. Jika prestasi ada (bagus), maka sudah pasti ada keputusan yang baik,” katanya.

Artikel Berkaitan: