Perak ungguli tandas awam bersih

Raja Kamarul Bahrin Shah menyampaikan hadiah kepada Setiausaha MBI, Mohd Zakuan Zakaria selepas PBT itu memenangi tempat pertama bagi kategori Pihak Berkuasa Tempatan (Bandar raya/Perbandaran).
Raja Kamarul Bahrin Shah menyampaikan hadiah kepada Setiausaha MBI, Mohd Zakuan Zakaria selepas PBT itu memenangi tempat pertama bagi kategori Pihak Berkuasa Tempatan (Bandar raya/Perbandaran).
A
A
A

IPOH - Perak mengungguli Pertandingan Pengiktirafan Tandas Awam Bersih 2019 sempena Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019.

Daripada 12 kategori dipertandingkan, empat kategori dimenangi tempat pertama, dua kategori mendapat tempat kedua manakala satu kategori di tempat ketiga.

Bagi kategori Pihak Berkuasa Tempatan (Bandar raya/Perbandaran), Tandas Awam Jalan Dato’ Tahwil Azar di bawah pengurusan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berjaya mendapat tempat pertama diikuti Tandas Awam Kuching Lake, Taman Rekreasi Majlis Bandaraya Kuching Selatan di tempat kedua dan Tandas Awam Anjung Selera Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan di tempat ketiga.

Bagi kategori Kawasan Pelancongan, tandas awam Taman Tema Studio Animasi (MAPS), Ipoh menang tempat pertama diikuti Tandas Awam Rantau Abang, Dungun dan Tandas Awam Pelancongan Tanah Tinggi Brinchang, Cameron Highlands.

Perak turut mengungguli tempat pertama bagi kategori Kedai Makan/Restoran apabila tandas awam 22 Hale Street diumum sebagai pemenang.

Tandas Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Hitam, Chemor turut meraih tempat pertama kategori Sekolah Rendah menewaskan SK St Francis Xavier, Kanowit yang berada di tempat kedua diikuti SK Sri Pulai Perdana, Johor Bahru di tempat ketiga.

Kategori lain yang dipertandingkan Tandas Awam Milik PBT (Daerah), Pejabat Kerajaan, Rumah Ibadat, Hentian Awam, Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta, Pusat Membeli Belah, Stesen Minyak dan Sekolah Menengah.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah di Stadium Indera Mulia, di sini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Raja Kamarul Bahrin Shah pada sidang media selepas majlis mencadangkan kategori pemenang keseluruhan mengikut negeri diperkenalkan pada masa akan datang untuk pertandingan tandas bersih tersebut.