Gangguan bekalan air empat jajahan di kelantan

Mat Noor (tengah) ketika sidang akhbar khas Penutupan LRA Merbau Chondong di Wisma AKSB hari ini.
Mat Noor (tengah) ketika sidang akhbar khas Penutupan LRA Merbau Chondong di Wisma AKSB hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 32,018 akaun pengguna di lebih 100 kawasan melibatkan jajahan Kota Bharu Selatan dan Timur, Machang serta Pasir Puteh akan mengalami gangguan bekalan air bermula hari ini hingga 29 Ogos ini.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dan Latihan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Mat Noor Awang berkata, gangguan itu berikutan kerja-kerja kecemasan pembaikan paip mentah yang pecah di Kampung Pulai Chondong, Machang.

Menurutnya, kerja baik pulih dilakukan selama tiga hari berikutan kebocoran besar serta faktor kedalaman paip yang menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong diberhentikan untuk sementara waktu.

"Kerja-kerja baik pulih bermula hari ini jam 9 pagi dan dijangka semua kawasan yang terjejas akan mendapat bekalan air secara berperingkat Sabtu ini bermula jam 10 malam.

“Bagi membantu pengguna terjejas pihak kami sudah menguruskan penghantaran air melalui lori tangki dan pengisian air ke tangki statik sepanjang tempoh gangguan bekalan air," katanya pada sidang akhbar khas Penutupan LRA Merbau Chondong di Wisma AKSB hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Operasi AKSB, Wan Khairuddin Wan Omar dan Ketua Jabatan Pengeluaran dan Fasiliti Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Wan Zamri Wan Hamat.

Mengulas lanjut Mat Noor berkata, AKSB menyediakan enam lori tangki yang melibatkan lori tangki dari jajahan Kuala Krai, Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Mas, Tumpat, Machang dan Pasir Puteh bagi mengagihkan air ke kawasan terjejas beroperasi 24 jam.

Katanya, bagi memudahkan pengguna juga AKSB turut menyediakan tangki statik berkapasiti 500 gelen di lokasi terpilih mengikut keperluan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, keutamaan penghantaran air diberikan kepada kawasan pengguna akaun besar dan kritikal seperti Pusat Akhlak Machang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kuarters IPD Machang.

Selain itu, penghantaran dibuat di Sekolah Berasrama Penuh Sains Machang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta sekolah, kantin dan asrama sekolah.

Beliau berkata, senarai lengkap kawasan terjejas dan stesen pengisian air setempat boleh dirujuk melalui aplikasi MyAKSB yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store dan Apple App Store.

Sebarang pertanyaan dan info mengenai gangguan bekalan air boleh menghubungi PINTAS di talian 15777 dan WhatsApp di nombor 019-5755777.