Pahang terus perkasa pembangunan berteraskan syariah

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang terus komited memperkasakan Islam dan memartabatkan budaya Melayu termasuk dalam pelaksanaan pembangunan di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu penting dalam usaha memelihara identiti rakyat negeri ini selain demi kepentingan ummah semasa dan generasi akan datang.

Menurutnya, elemen Islam dan Melayu penting untuk dikekalkan mengambil kira situasi negara yang semakin terdedah dengan ancaman fahaman dari luar yang tidak sealiran dengan agama, adat dan budaya negara ini.

“Antaranya penggunaan tulisan jawi. Kerajaan negeri tetap dengan keputusan melaksanakan peraturan yang mewajibkan setiap premis menggunakan tulisan jawi pada papan tanda premis mereka sebagaimana yang ditetapkan.

“Selain itu, kerajaan amat menggalakkan dan menyokong penuh projek pembangunan berkonsepkan Islamik seperti Rumah Mesra Syariah (RMS) yang dilancarkan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang baru-baru ini,” katanya melalui kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi beliau hari ini.

Wan Rosdy berkata, RMS merupakan kediaman yang dibina dengan mengetengahkan konsep lebih islamik bermula daripada pembangunan hartanah, penyediaan tanda arah kiblat dan rekabentuk yang lebih privasi serta sesuai dengan tuntutan Islam dan adat Melayu.

“Pembinaan kediaman berteraskan syariah itu dapat membantu menggalakkan umat Islam mengamalkan gaya hidup Islam selain memudahkan mereka menunaikan ibadah.

“RMS direka untuk melindungi privasi penghuni dengan memberi penekanan terhadap pengasingan anak-anak lelaki dan juga perempuan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, melalui kerjasama Jabatan Mufti Pahang, projek-projek pembangunan seperti ini harus diberikan galakkan dan akan disokong penuh oleh kerajaan Pahang pada masa hadapan.

“Kerajaan Pahang akan terus komited dalam melaksanakan pembangunan berteraskan syariah Islam, berintegriti dan amanah di negeri ini,” katanya.