Tembok pagar sekolah menyembah bumi sekali lagi...

Keadaan tembok pagar sekolah berkenaan yang roboh sebelum ini.
Keadaan tembok pagar sekolah berkenaan yang roboh sebelum ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Tembok pagar Sekolah Menengah Seksyen 16, di sini roboh dipercayai akibat struktur binaan lama dan yang sudah uzur.

Menurut penduduk berhampiran, Ramli Ngah, 42, sebelum ini separuh daripada tembok berkenaan sudah roboh dan kejadian sama berulang semalam apabila separuh lagi struktur terlibat tumbang.

Ramli berkata, namun begitu kejadian itu tidak menyebabkan kecederaan kepada mana-mana pihak mahu pun pelajar sekolah terlibat memandangkan insiden berkenaan berlaku sekitar jam 8 malam.

“Sebelum ini separuh tembok itu roboh akibat keadaan yang uzur dan kejadian itu berulang semalam tapi saya difahamkan tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku kerana tiada pelajar pada waktu itu,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Ruzaimah Hussin, 38, berkata, dia berharap agar perkara itu mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkaitan dengan kadar segera bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Walaupun tak ada kemalangan jiwa berlaku tapi isu ini perlu diatasi segera memandangkan ia melibatkan aspek keselamatan pelajar di sekolah ini.

“Pihak terlibat perlu segera memikirkan penyelesaian sebelum berlakunya sebarang perkara melibatkan keselamatan pelajar di sini,” katanya.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan kepada Sinar Harian bahawa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak sekolah berkenaan akan mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan: