MPT Bersatu bersifat 'lebih UMNO'

Hantaran di Facebook Kadir berhubung kompilasi MPT Bersatu baharu yang didakwa 'lebih UMNO' berbanding MPT asal.
Hantaran di Facebook Kadir berhubung kompilasi MPT Bersatu baharu yang didakwa 'lebih UMNO' berbanding MPT asal.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A Kadir Jasin menyifatkan barisan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi tempoh 2019-2022 kelihatan 'lebih UMNO' jika dibandingkan sewaktu parti itu mula ditubuhkan dahulu.

Beliau berkata, ia jelas ketara melalui susunan atau kompilasi MPT itu sendiri selepas Bersatu mengadakan pemilihan pucuk pimpinan peringkat nasional pada 22 Ogos lalu.

Menurutnya, pada majlis pembukaan pemilihan tersebut, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembukaan keahlian parti itu kepada semua bangsa dan kemasukan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Apabila keputusan pemilihan MPT diumumkan, ramai calon daripada kalangan pejuang asal tewas dan digantikan oleh bekas ahli UMNO yang melompat parti selepas UMNO kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

"Daripada 25 orang ahli MPT baharu, 13 terdiri daripada pejuang asal dan 12 daripada kumpulan yang melompat. Sementara itu, daripada kalangan ahli MPT asal hanya enam orang berjaya mempertahankan kedudukan termasuk Muhyiddin sendiri," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tambahnya, ahli MPT baharu yang terdiri daripada ahli asal Bersatu adalah seramai tujuh orang dan mereka menyertai Bersatu sejak parti itu mula ditubuhkan.

"Ahli MPT baharu dari kumpulan yang menyertai Bersatu selepas PRU 2018 termasuk wakil rakyat adalah seramai 12 orang. Mereka ini dirujuk sebagai 'muhajirin' walaupun pada pendapat saya label itu tidak tepat sama sekali.

"Mereka ini melompat masuk Bersatu setelah UMNO kalah dalam PRU 2018 dan kesimpulannya, MPT Bersatu bagi tempoh 2019-2022 ini 'lebih UMNO' daripada MPT asal atau MPT penaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bekas penasihat media kepada Dr Mahathir itu berkata, beliau juga melihat bersatu kini berhenti daripada menjadi parti Pribumi/Bumiputera dan bertukar menjadi parti pelbagai bangsa sama seperti PKR, DAP, Pas dan Gerakan.

Terdahulu, pada Pemilihan Bersatu baru-baru ini menyaksikan Muhyiddin kekal sebagai Presiden Bersatu selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan penggal kali ini.

Turut menang tanpa bertanding Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi jawatan Timbalan Presiden.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof atau lebih mesra dengan panggilan Pak Wan tewas bagi merebut jawatan Naib Presiden yang dimenangi oleh Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Mohd Redzuan merupakan antara 18 calon yang bertanding dalam pemilihan Bersatu bagi merebut satu daripada tiga kerusi bagi jawatan Naib Presiden parti.

Selain itu, jawatan bagi Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap dipegang oleh Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dan Datuk Hashim Suboh manakala 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) turut dimuktamadkan pada pemilihan tersebut.

Antara yang dipilih ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.

Selain itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith dan Setiausaha Politik Muhyiddin, Azlinda Abdul Latif juga dipilih bagi jawatan MPT.