China buru individu anjur demo pesara tentera

Ribuan veteran tentera China menyertai tunjuk perasaan di Beijing.
Ribuan veteran tentera China menyertai tunjuk perasaan di Beijing.
A
A
A

BEIJING - CHINA. Pihak berkuasa China mengarahkan penahanan 19 individu yang didakwa terlibat dalam penganjuran tunjuk perasaan oleh veteran tentera di dua bandar utama pada tahun lalu.

Kesemua 19 individu tersebut dituduh menganjurkan himpunan untuk mengganggu ketenteraman awam di bandar Pingdu pada Oktober dan bandar Zhenjiang pada Jun tahun lalu, dengan niat mencetuskan kekecohan.

Arahan penahanan itu dikeluarkan oleh mahkamah China.

Himpunan di Zhenjiang dianjurkan untuk membantah kes seorang veteran tentera dipukul kerana meminta pencen yang lebih tinggi.

Insiden itu membayangkan kemelut yang dihadapi pesara tentera di negara yang mempunyai askar paling ramai di dunia untuk mendapatkan faedah pencen yang lebih baik.

Pihak berkuasa China tidak bertoleransi terhadap tunjuk perasaan awam, tetapi Tentera Pembebasan Rakyat dan pesara tentera sering mendapat penghormatan umum.

Tunjuk perasaan itu berterusan selama beberapa hari di Zhenjiang sebelum polis masuk campur. - AFP

Artikel Berkaitan: