X

Kindly register in order to view this article
!

FAM disaran undang kelab luar negara sertai Liga-M

B Sathianathan
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran menjemput kelab luar negara menyertai saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan sekiranya hanya 10 pasukan selesai melengkapkan proses pelesenan dan penswastaan pasukan.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, jemputan itu adalah bagi menggantikan pasukan yang gagal melengkapkan proses pelesenan dan penswastaan pasukan sehingga terpaksa beraksi dalam saingan Liga Amatur (Liga-M3).

Menurutnya, undangan itu secara tidak langsung akan menjadikan saingan Liga-M lebih meriah dengan penyertaan kelab luar negara.

“Kalau hanya 10 pasukan yang jadi FC, kita boleh ambil pasukan luar seperti dari Brunei, Singapura dan sebagainya bagi membantu memeriahkan lagi saingan liga, lagi pun pasukan-pasukan ini lebih dahulu menggunakan status FC berbanding kita.

“Pasukan-pasukan yang tersingkir ke saingan Liga-M3 pula jika mahu kembali ke saingan liga utama perlulah menyiapkan proses pelesenan serta proses penswastaan kelab,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan bahawa badan induk bola sepak negara itu tidak akan berkompromi lagi berhubung perkara berkenaan kerana kecewa dengan sikap persatuan yang mengambil mudah isu pelesenan dan penswastaan ini.

FAM turut memberikan tempoh sehingga 31 Ogos ini untuk semua pasukan Liga-M melengkapkan permohonan lesen kebangsaan atau tidak dibenarkan beraksi dalam saingan liga musim depan.

Perak 2 dan Pulau Pinang antara dua pasukan yang mewarnai saingan Liga-M.
Perak 2 dan Pulau Pinang antara dua pasukan yang mewarnai saingan Liga-M.

Mereka yang gagal memenuhi proses pemisahan FA (persatuan) ke FC (kelab) menjelang 30 September juga akan diturunkan ke saingan Liga Amatur (Liga -M3).

Sementara itu, Sathianathan berharap supaya semua pasukan yang masih belum melengkapkan proses pelesenan dan penswastaan untuk segera berbuat demikian kerana isu berkenaan telah pun berlarutan sejak sekian lama.

Tegasnya, perkara itu sudahpun dimaklumkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sejak 2014 lagi sebelum ini.

“Jika negara lain boleh melengkapkan proses pelesenan dan penswastaan pasukan, mengapakah negara kita yang pernah diiktiraf memiliki pengurusan terbaik sehinggakan gergasi bola sepak Asia, Jepun pernah mengikut kita, masih gagal berbuat demikian?

“Bagi saya memang rugilah kalau kita tidak bertukar kepada FC kerana ia adalah syarat daripada AFC. Tak gunanya apabila pasukan kita menang Piala FA atau muncul juara liga tetapi akhirnya tidak dibenarkan beraksi dalam saingan AFC (kerana masih berstatus FA).

"Bukannya susah pun untuk FA bertukar kepada FC, lagi pun dia ada syarat-syarat yang bagus untuk pembangunan bola sepak,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!