Calon Bebas buat laporan polis dakwa wujud unsur sogokan

Amirul Fairuzzeen menunjukkan laporan polis dan hantaran di Facebook Kementerian Sumber Manusia berhubung penganjuran program semalam.
Amirul Fairuzzeen menunjukkan laporan polis dan hantaran di Facebook Kementerian Sumber Manusia berhubung penganjuran program semalam.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Calon Bebas mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Amir Khusyairi Mohamad Tanusi membuat laporan polis hari ini mendakwa berlaku unsur sogokan terhadap pengundi dalam satu program anjuran Kementerian Sumber Manusia semalam.

Laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim itu antara lain mendedahkan penganjuran program Karnival Kerjaya dan Kemahiran JobsMalaysia di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River itu sebagai satu kesalahan di bawah Seksyen 10(B) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana secara sogokan menjanjikan dan memberikan pekerjaan.

Pengarah Kempen, Amirul Fairuzzeen Jamaluddin berkata, dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebook Kementerian Sumber Manusia memaklumkan, menerusi program itu seramai lapan orang yang merupakan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim telah diterima bekerja manakala empat orang kurang upaya (OKU) menerima skim bantuan perniagaan.

Menurutnya, program yang turut dihadiri Menteri, Datuk Seri M Saravanan itu menghebahkan bahawa pihak kementerian telah menawarkan 9,000 kekosongan jawatan kepada pencari kerja dalam pelbagai jawatan dan kelulusan akademik.

"Sebarang unsur sogokan sama ada janji dan tawaran pekerjaan atau sebagainya dianggap definisi yang tertakluk di bawah akta kesalahan pilihan raya.

“Secara kebetulan program ini dilaksanakan dalam tempoh berkempen pilihan raya, saya percaya sudah tentulah pihak kerajaan maklum akan perkara ini dan sewajarnya mereka tidak melakukannya dalam tempoh kempen ini," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau yang juga peguam berkata, laporan dibuat bagi meminta siasatan dan tindakan tegas diambil pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap penganjuran program itu yang jelas satu penyalahgunaan jentera serta agensi kerajaan bagi memenangkan calon-calon tertentu terutama daripada kerajaan.

"Kita bukan mempertikaikan hak rakyat di sini untuk menerima keprihatinan kerajaan tetapi yang dipersoalkan mengapa keprihatinan itu mesti ditunjukkan dalam tempoh kempen ini.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu ia tidak adil kepada calon-calon lain yang bertanding, yang tidak punya akses kepada kementerian dan agensi kerajaan," katanya.