Tambah kaunter pemeriksaan Imigresen di BSI

Hamzah (kiri) bersama Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir (kanan) ketika meninjau Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hari ini. Foto: Bernama
Hamzah (kiri) bersama Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir (kanan) ketika meninjau Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Dalam Negeri (KDN) merancang untuk menambah pembukaan kaunter pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, di sini.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penambahan sebanyak kira-kira 40 kaunter pemeriksaan itu bagi mempercepatkan pergerakan keluar masuk antara Malaysia dan Singapura lebih-lebih lagi apabila sempadan negara dibuka sepenuhnya kelak.

“Apabila sempadan dibuka, kita jangka 400,000 hingga 500,000 pengguna akan menggunakan CIQ ini setiap hari.

“Ini semua (kaunter) kemudahan, kita bersedia. Apabila Singapura bersedia, kita pun sudah bersedia, mudah...kita tidak mahu apabila sudah buka (sempadan), barulah kita mencari-cari (kaunter), kita rancang dahulu untuk masa depan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau BSI, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohd Solihan Badri.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISE) bagi menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) untuk meningkatkan keupayaan pergerakan keluar masuk sempadan dijangka bermula 2023.

Beliau berkata, sistem itu bukan sahaja dilengkapi keupayaan biometrik malah merangkumi sistem pengecaman wajah.

“Ini merupakan antara perancangan kerajaan untuk memastikan pergerakan keluar masuk negara berjalan lancar. Apabila sistem ini sudah sedia kelak di ibu pejabat Imigresen di Putrajaya, kita akan sepadukannya dengan semua pusat pemeriksaan di sempadan serta laluan keluar masuk negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam lawatannya, beliau memuji usaha kerajaan negeri Johor menyediakan perkhidmatan bas percuma bagi kemudahan pejalan kaki yang merentas sempadan Malaysia-Singapura menerusi skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) mulai 17 Ogos lepas.

RGL membenarkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi yang penting antara kedua-dua negara manakala PCA pula membolehkan penduduk yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan kerja di salah satu negara, memasuki negara itu. - Bernama