Kes keganasan terhadap wanita pada tahap membimbangkan

Dr Wan Azizah menerima cenderamata daripada Cai Tung.
Dr Wan Azizah menerima cenderamata daripada Cai Tung.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sebanyak 651 permohonan bantuan diterima menerusi Talian Kasih 15999 pada tahun lalu.

Menurutnya, permohonan itu membabitkan kes penderaan kanak-kanak dan keganasan rumah tangga.

“Sebanyak 75 daripada 651 kes adalah dari Johor dan jumlah ini adalah yang ketiga tertinggi di seluruh Malaysia. Kes keganasan terhadap wanita di negara ini pula pada tahap yang membimbangkan,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Santuni Rakyat Peringkat Johor yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan Exco Pembangunan Wanita dan Pelancongan, Liow Cai Tung di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan dari Januari hingga November 2018 adalah sebanyak 4,963 kes.

“Kementerian melalui JPW (Jabatan Pembangunan Wanita) secara berterusan melaksanakan program khusus untuk menangani keganasan terhadap wanita.

“Ini kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada individu yang terlibat malah keluarga, masyarakat serta negara keseluruhannya,” katanya.

Beliau turut mengajak orang ramai menjadi mata dan telinga kementerian dalam melaporkan perkara yang meragukan untuk disiasat dan diberikan bantuan jika ada kesahihannya.

Artikel Berkaitan:

“Kami mengharapkan semua pihak memberikan kerjasama dan menyambut baik program yang dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keganasan terhadap wanita terutama kaum lelaki.

“Pelaksanaan Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita ini turut diadakan di seluruh negara menerusi Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) dengan pengisian program seperti Wanita Anti Jenayah (WAJA), klinik undang-undang dan klinik De’Stress,” katanya.

Dalam ucapan sama, Dr Wan Azizah juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri kerana melancarkan program ‘Mama Friendly’ iaitu penyediaan kemudahan bilik penyusuan bayi kepada kakitangan awam wanita di Johor.