MIC kekal dalam PN selagi UMNO, BN juga kekal

S Vigneswaran
S Vigneswaran
A
A
A

SHAH ALAM - MIC menegaskan komitmen mereka untuk menjadi sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) selagi Barisan Nasional (BN) dan UMNO kekal dalam gabungan kerajaan itu.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Presidennya, S Vigneswaran berkata, itu komitmen yang dijanjikan mereka.

“Kita tahu di peringkat akar umbi, ada yang mempersoalkan sama ada UMNO akan menyertai PN atau sama ada Bersatu akan menyertai Muafakat Nasional.

“Bagi MIC, kami masih komited dengan PN selagi BN dan Umno kekal dengan PN," katanya.

Terdahulu, kemelut dalaman Muafakat Nasional mulai timbul selepas Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan parti itu akan terlibat sama dalam jawatankuasa pendaftaran PN bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun, rakan sekutunya dalam Muafakat Nasional iaitu UMNO kekal dengan pendirian untuk meneruskan Muafakat Nasional dan tidak akan menyertai PN sebagai gabungan politik.

Muafakat Nasional ditubuhkan secara rasmi pada 14 September 2019 merupakan sebuah gagasan kerjasama antara UMNO dan Pas.

Gabungan Muafakat Nasional antara parti yang dipimpin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas itu memasuki satu lagi fasa baharu apabila kedua-duanya bersetuju untuk memberi kerjasama kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu selepas jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu.

Artikel Berkaitan: