Messi, Ronaldo disaran sertai PSG

Messi dan Ronaldo disaran sertai Neymar di PSG.
Messi dan Ronaldo disaran sertai Neymar di PSG.
A
A
A

BINTANG Barcelona, Lionel Messi dan tonggak utama Juventus, Cristiano Ronaldo disaran menyertai Neymar di Paris Saint Germain (PSG) musim depan.

Ejen kepada Neymar, Wagner Ribeiro berkata, PSG mampu memberikan apa sahaja yang diingini kedua-dua bintang dunia itu sebelum mengakhiri karier sebagai pemain bola sepak.

Messi sebelum ini tidak menolak kemungkinan mahu berpindah daripada kelab Catalan itu selepas Barcelona dibelasah 2-8 oleh Bayern Munich dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara baru-baru ini.

Manakala, Ronaldo pula dilaporkan akan dijual oleh Juventus selepas kelab itu kemungkinan besar tidak mampu lagi membayar gaji besar bekas pemain Real Madrid itu.

Ribeiro menegaskan Neymar kini bahagia bersama kelab Perancis tersebut dan menyarankan Messi dan Ronaldo turut sama menyertai PSG untuk merasai sendiri pengalaman penuh menakjubkan itu apatah lagi kelab itu turut disokong dana besar daripada pemilik kelab, Qatar Sports Investments, yang dipimpin Nasser Al Khelaifi.

"Pernah satu ketika Neymar sedih kerana kecederaan panjang yang dialaminya sehingga dia mengeluarkan kenyataan mahu berpindah kembali ke Barcelona atau Real Madrid. Tetapi, hari ini anda boleh nampak dia sangat gembira.

"Tinggal di 'Kota Cahaya' di mana semua orang berjalan-jalan dengan tenang, menikmati makanan Perancis yang lazat, mempunyai rumah yang indah dan bermain dengan kelab terbaik dunia. Siapa yang tidak mahu merasai semua itu? Apa lagi alasan Neymar mahu berpindah?

"Dia (Neymar) sangat gembira dan saya rasa dia akan kekal di PSG untuk tempoh dua tahun lagi. Hari ini, tanpa ragu-ragu saya boleh nyatakan amat mudah untuk Messi ke PSG daripada Neymar kembali ke Barcelona.

Artikel Berkaitan:

"Messi dan Cristiano Ronaldo. Saya serius: Anda tak akan mampu meragui dan menolak kekuatan ekonomi Qatar," katanya.