#MAAL HIJRAH TERENGGANU Presiden Yayasan Amal Malaysia penerima Tokoh Maal Hijrah Terengganu

A
A
A
KUALA TERENGGANU – Presiden Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu tahun 1442/2020 dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah di Wisma Darul Iman hari ini.

Anak kelahiran Marang berusia 65 tahun yang aktif dalam kerja-kerja amal, kebajikan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) lebih 40 tahun itu menerima hadiah wang tunai RM10,000, pakej menunaikan umrah , persalinan dan sijil penghargaan.

Hussin yang turut memegang jawatan penting dalam bidang korporat berkata, anugerah yang diterima itu bukan untuk dirinya seorang sebaliknya merupakan penghormatan buat semua pasukan beliau.

“Saya gembira dan berterima kasih. Anugerah ini bukan untuk saya seorang tapi untuk pasukan kami yang banyak terlibat dalam program kebajikan serta kemanusiaan kerana ia dinilai hasil kerjasama bersama rakan-rakan,” katanya.

Hasil perkongsian hidup dengan Rosemunainah Noor Asmuni, pasangan itu dikurniakan sembilan anak dan kesemua mereka adalah penghafaz al-Quran.

Pada majlis itu, imam Masjid Kampung Bukit Kandis, Mohamad Ghani dipilih sebagai Tokoh Imam Cemerlang manakala bilal Masjid Kampung Kubang Bujuk, Abdul Rahman Ishak diumumkan Tokoh Imam Cemerlang.

Kedua-dua mereka menerima hadiah berupa wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan.

Majlis yang disambut secara sederhana dalam suasana normal baharu itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Hadir sama isteri beliau, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Zahari Md Azahar dan Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.
Artikel Berkaitan: