Pengerusi kuil ditahan kes ugut perebutan kuasa

Antara senjata api yang dirampas.
Antara senjata api yang dirampas.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pengerusi persatuan pengurusan kuil ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan terhadap sepasang suami isteri di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan pada jam 3.15 pagi di Sea Park di sini.

"Kita turut merampas dua pucuk pistol jenis Compact Cal 9mm bersama lapan butir peluru dan SRA Pistol Elektra 9x19 9mm bersama lima butir peluru di pejabat suspek di Balakong, Cheras pada jam 11.30 malam, hari yang sama," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Nik Ezanee berkata, suspek mempunyai lesen senjata api yang sah dan dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

"Bagaimanapun, saya telah mencadangkan agar kelulusan lesen senjata api suspek dikaji semula di atas kepentingan dan keselamatan awam," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham di antara suspek yang merupakan pengerusi baharu dengan pengerusi lama persatuan berkenaan.

"Perselisihan faham itu mengenai perebutan kuasa dalam pengurusan kuil di kawasan Sea Park," katanya.

Menurutnya, terdapat dua laporan polis dibuat ke atas suspek mengenai isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Laporan polis itu dibuat oleh pengerusi lama persatuan berkenaan di Balai Polis Sea Park pada 13 Ogos lalu," katanya.

Nik Ezanee berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan ke atas kedua-dua pihak bertelagah bagi meneliti pembabitan dan pengaruh Geng 21 dan Geng 04 di dalam pertelingkahan itu.

"Sekiranya terbukti, tindakan pencegahan akan menyusul. Kita akan melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaraya untuk arahan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, suspek telah ditahan reman satu hari sebelum diberi jamin polis kerana tempoh reman telah tamat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.

Terdahulu tular rakaman seorang lelaki bertengkar dengan pasangan suami isteri di tempat letak kereta awam berhadapan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Dalam pertengkaran itu telah berlaku ugutan yang menimbulkan ketakutan kepada pasangan tersebut.