Apple syarikat pertama AS bernilai RM8.35 trilion

Dua orang berjalan berhampiran sebuah kedai menjual produk Apple di Beijing, China. - Foto AFP
Dua orang berjalan berhampiran sebuah kedai menjual produk Apple di Beijing, China. - Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Apple semalam menjadi syarikat pertama Amerika Syarikat (AS) berjaya mencapai nilai AS$2 trilion (RM8.35 trilion) dalam pasaran saham sekali gus menunjukkan syarikat gergasi teknologi mendapat manfaat daripada pandemik koronavirus (Covid-19) yang sedang melanda dunia.

Pembuat telefon bimbit iPhone itu memperoleh reputasi tersebut pada dagangan waktu pagi di bursa saham Nasdaq, Wall Street.

Sebelum ini, syarikat tersebut adalah gergasi teknologi pertama mencecah nilai AS$1 trilion (RM4.17 trilion) dalam pasaran pada Mac 2018.

Beberapa syarikat teknologi lain termasuk Amazon, Microsoft dan Alphabet iaitu syarikat induk Google kini mempunyai nilai pasaran lebih AS$1 trilion.

"Apple mengecapi kejayaan besar dalam membina platformnya dengan mengambil kira kesan daripada memuncaknya jualan iPhone, menghasilkan produk di sekelilingnya dan perkhidmatan yang dipertingkatkan," kata seorang penganalisis, Avi Greengart daripada syarikat perunding Techsponential.

Faktor penyumbang utama kejayaan Apple ialah kepimpinan daripada Ketua Eksekutifnya, Tim Cook yang mengambil alih daripada Steve Jobs yang meninggal dunia pada tahun 2011.

"Dia (Cook) tidak melakukan sebarang ciptaan. Namun, apa yang dilakukannya adalah dia meneruskan dasar yang kukuh terhadap haluan syarikat, mengemudi dan mengekalkan budaya (dalam Apple) supaya tidak terjejas," kata seorang penganalisis di Needham & Company. Laura Martin. - AFP

Artikel Berkaitan: