Nilai aset kerajaan cecah lebih RM1 trilion setakat ini

Ahmad (tengah) mengadakan lawatan kerja rasmi ke pejabat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Johor pada Ahad.
Ahmad (tengah) mengadakan lawatan kerja rasmi ke pejabat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Johor pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Kewangan mengumumkan aset kerajaan Persekutuan yang sudah dinilai setakat ini mencecah lebih RM1 trilion.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, nilai itu diperoleh hasil penilaian menerusi proses perakaunan akruan yang dilaksanakan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bersama Jabatan Akauntan Negara, sejak 2013.

Jelasnya, aset yang sudah dinilai itu membabitkan harta kerajaan Persekutuan yang terdiri daripada bangunan dan tanah di seluruh negara.

"JPPH bersama Jabatan Akauntan Negara sedang dengan teliti menilaikan harta Kerajaan Pusat yang ada di seluruh negara membabitkan tanah dan bangunan seperti sekolah, klinik, hospital, bangunan kerjasama dan pejabat kerajaan.

"Proses perakaunan akruan ini sudah mula dilaksanakan sejak 2013 dan setakat ini aset kerajaan pusat yang sudah dinilai adalah lebih RM1 trilion dan ini merangkumi lebih separuh daripada aset kerajaan yang ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke pejabat JPPH Johor di sini, pada Ahad.

Menurut Ahmad, proses penilaian itu masih lagi diteruskan bagi menilai aset lain seperti jentera, loji, peralatan serta aset tidak ketara seperti patern, perisian sistem, 'intelectual property', jambatan dan jalan.

"Proses penilaian aset ini masih berjalan dan masih dikira. Dijangka bertambah kira-kira RM30 bilion lagi.

"Saya akan pastikan ia terus dilaksanakan dan kita tidak mahu rakyat selalu didedahkan dengan hutang negara yang dikatakan sebanyak RM1.5 trilion itu, sedangkan aset kerajaan kita juga ada banyak," katanya.

Bagi negeri Johor pula, beliau memberitahu aset Kerajaan Pusat yang sudah dinilai merangkumi RM24 bilion bagi Kementerian Pendidikan yang terdiri daripada sekolah-sekolah dan RM9.2 bilion bagi Kementerian Pertahanan membabitkan kem-kem tentera dan tanah kementerian.

"Kementerian Kesihatan pula dengan hospital dan klinik mencecah RM8.7 bilion, Ibu Pejabat Polis dan balai-balai polis di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebanyak RM3.4 bilion dan Jabatan Perdana Menteri (RM3.3 bilion)," katanya.