Azmin sudah berani tunjuk 'wajah' sebenar, kata Puad

Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah berani menunjukkan 'wajah' sebenarnya apabila mengumumkan akan menyertai Parti Bersatu Malaysia (Bersatu).

Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat berkata, walaupun bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak mempunyai parti, namun dilantik sebagai Menteri Kanan.

"Di zaman Pakatan Harapan, kumpulan Azmin yang tidak sehaluan dengan partinya dapat empat jawatan menteri, manakala yang pro (Dr Seri) Anwar (Ibrahim) cuma dapat tiga jawatan menteri.

"Di zaman Perikatan Nasional, Azmin semakin untung kerana dilantik Menteri Kanan walaupun tidak berparti. Azmin nampaknya sentiasa untung bila wajahnya tidak jelas," tulisnya di Facebooknya hari ini.

Puad bagaimanapun mempersoalkan mengenai sokongan pengundi di Gombak terhadap Azmin apabila menyertai Bersatu.

"Apabila menyertai Bersatu barulah wajah Azmin nampak jelas. Cuma bila wajah sudah jelas, bolehkah Azmin menang lagi di Gombak," tulisnya.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, kumpulan Azmin, seramai 10 Ahli Parlimen secara rasmi akan menyertai Bersatu pada 22 Ogos ini.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, Azmin mewakili PKR menang kerusi Parlimen Gombak dengan majoriti 48,721 undi, dalam pertarungan tiga penjuru menentang Barisan Nasional dan Pas.

Artikel Berkaitan:

Bersatu yang ditubuhkan empat tahun lalu, belum pernah teruji di kerusi Gombak.

Gombak adalah kerusi majoriti Melayu dengan seramai 77 peratus pengundi Melayu, manakala pengundi Cina dan India masing-masing sekitar 11 peratus pengundi.

Selain Gombak, Azmin juga menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, yang terletak di kawasan Parlimen Gombak sejak PRU 2008.

Mengulas lanjut, Puad berkata, setelah menyertai Bersatu bukan mudah bagi Azmin dan kumpulannya meraih sokongan "solid" orang Cina sebagaimana PRU13 dan PRU14.

"Bila masuk Bersatu, bermakna Azmin akan masuk Muafakat Nasional. Ikutlah peribahasa, masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang kerbau menguak. Jangan nak mengaum pula macam harimau.

"Rakyat nampak wajah sebenar Azmin. Ketua Polis Negara sahaja yang kata wajah Azmin masih kabur," katanya.