Kes Indira Gandhi: PDRM giat kesan Muhammad Riduan

M. Indira Gandhi. Gambar fail Sinar Harian.
M. Indira Gandhi. Gambar fail Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Muhammad Riduan Abdullah yang merupakan bekas suami kepada M Indira Gandhi dipercayai tidak berada tetap pada satu-satu tempat di luar negara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata, ini berikutan Muhammad Riduan sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain untuk mengelakkan dirinya daripada dikesan pihak berkuasa.

“Oleh itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran bagi mengenal pasti lokasi subjek (Muhammad Riduan Abdullah).

“PDRM akan mengambil tindakan undang-undang berdasarkan peruntukan sedia ada sekiranya subjek pulang ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan di bawah usul mengenai status dan perkembangan kes Indira Gandhi yang dibawa Charles Santiago (PH-Klang) di Kamar Khas persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Selain itu, berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara, Ismail berkata, PDRM telah membuat pemeriksaan di kesemua alamat yang pernah didiami subjek.

“Berdasarkan alamat yang diperiksa mendapati subjek tidak menetap di alamat berkenaan dan nama subjek juga telah disenarai sebagai orang yang dikehendaki PDRM,” katanya.

Ismail berkata, Muhammad Riduan juga telah disenarai hitam dalam rekod Jabatan Imigresen untuk mengesan serta menahan jika subjek cuba melarikan diri ke luar negara.

Artikel Berkaitan:

“Pihak PDRM telah menjalankan pelbagai usaha lain bagi mengesan subjek termasuklah bantuan pihak berkuasa negara jiran bagi mengesan lokasi sebenar subjek.

“Bagaimanapun, PDRM tidak dapat memberikan butiran penuh usaha terbabit kerana dikhuatiri akan menjejaskan usaha mengesan subjek,” katanya.

Ismail berkata, usaha mengesan itu akan diteruskan sehingga Muhammad Riduan dan anaknya ditemui.

Media sebelum ini, melaporkan bahawa PDRM sedang meneliti langkah sewajarnya dalam usaha mempercepatkan proses menyatukan kembali Indira Gandhi dengan anak perempuan bongsunya, Prasana Diksa.

Ketika ini belum ada sebarang petunjuk mengenai lokasi Muhammad Riduan yang hilang bersama tiga anaknya pada 2011.

Pada Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak guru tadika, Indira Gandhi hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.- Bernama