Tukang cuci kereta didakwa cedera, ugut bunuh adik saudara

B Mageswaran (tengah) dibawa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.
B Mageswaran (tengah) dibawa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.
A
A
A

MELAKA - Seorang tukang cuci kereta didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas dua pertuduhan mengugut bunuh dan mencederakan adik saudaranya pada 7 Ogos lalu.

Tertuduh, B Mageswaran, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh merupakan bapa dua anak itu didakwa telah melakukan ugut membunuh mangsa yang berusia 27 tahun di Rumah Pangsa Kampung Padang, kira-kira jam 9.15 malam pada 7 Ogos lalu.

Tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan mangsa cedera dengan menggunakan sebilah pisau pemotong sayur di lokasi dan masa yang sama.

Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, dan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dalam rayuannya memohon jaminan rendah dikenakan memandangkan ketika kejadian dia tidak sedar apa yang terjadi kerana dia berada dalam keadaan mabuk dan mendakwa keluarganya telah menarik semula kes terbabit selain perlu menanggung isteri serta dua anak.

Artikel Berkaitan:

Shu Yee dalam penghakimannya kemudian menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak mengacau ganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 20 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.